Menjadi antara pelakon Malaysia yang mempunyai reputasi baik di Indonesia, pelakon Meerqeen baru-baru ini mengadakan sesi pertemuan bersama peminatnya di Jakarta.
Selain ingin menghargai sokongan berterusan yang diberikan peminat, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 25, turut mengintai peluang untuk mengembangkan kerjayanya di Indonesia.
Menyedari popularitinya dalam kalangan peminat di sana, Meerqeen juga sempat bertemu beberapa penerbit dan wakil rumah produksi bagi membincangkan potensi kerjasama serta projek yang sesuai untuk pasaran Indonesia.
Menurut hero Melur Untuk Firdaus itu, melihat sambutan baik yang diterimanya, dia yakin ini merupakan antara langkah penting dalam karier lakonannya untuk meneroka pasaran antarabangsa.
“Sebelum ini, saya memang pernah menjayakan beberapa projek di sana, namun pada tahun 2026 saya mahu lebih aktif lagi di Indonesia. Melalui peluang yang ada ini, selain tujuan asal untuk bertemu peminat, saya fikir ini juga waktu yang sesuai untuk mengintai peluang yang ada.
“Alhamdulillah, saya sempat bertemu beberapa penerbit dan wakil rumah produksi. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya mahu menjayakan lebih banyak projek di Indonesia,” katanya.
Meerqeen turut mengakui dia terharu dengan sambutan serta keramahan masyarakat di sana, sekali gus membuatkan dia lebih yakin untuk menyimpan hasrat besar menjayakan projek di negara seberang itu.
“Orang di sini ramah dan sangat terbuka. Saya rasa kehadiran saya sangat dialu-alukan. Itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk berusaha lebih dan membawa diri ke tahap seterusnya,” ujarnya.
Selain pertemuan industri, Meerqeen juga memeriahkan beberapa program popular tempatan apabila dijemput ke tiga rancangan iaitu Lapor Pak, Brownis dan Pagi Pagi Ambyar.
Katanya, peluang muncul dalam program-program berkenaan memberikan pengalaman baharu serta pendedahan yang sangat bermakna, terutamanya dalam memahami cita rasa penonton Indonesia.

“Saya seronok dapat masuk ke set dan merasai sendiri suasana program-program di sini. Banyak perkara yang saya pelajari, cara mereka bekerja dan cara mereka menghiburkan penonton. Semua itu menjadi pengalaman yang sangat saya hargai.
“Cuma, disebabkan masa yang singkat, saya tidak dapat memenuhi beberapa tawaran lain untuk muncul dalam beberapa program tambahan. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana dalam tempoh singkat di Jakarta ini, impian utama saya untuk bertemu peminat berjaya direalisasikan,” katanya.
Terdahulu, Meerqeen mengadakan sesi meet and greet di Jakarta bersama kira-kira 100 peminat Indonesia sambil berkongsi perancangan kerjayanya sepanjang tahun 2026.










