Konsert For You Nourul ditunda ke tanggal 30 Mei 2026 - Utusan Malaysia

Konsert For You Nourul ditunda ke tanggal 30 Mei 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi Nourul Depp untuk mengadakan konsert solo pertamanya, For You Nourul nampaknya terpaksa ditangguhkan apabila tarikh asal ditunda kepada tanggal baharu iaitu pada 30 Mei 2026 bagi memastikan persembahan yang lebih berkualiti dan memuaskan hati peminat.

Konsert yang sebelum ini dirancang berlangsung pada 17 April depan ditangguhkan ke tarikh baharu selepas mengambil kira beberapa faktor penting termasuk perancangan produksi dan kesesuaian masa.

Menurut pihak penganjur, ND Entertainment, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama penyanyi berkenaan bagi memastikan kelancaran penganjuran konsert sulung yang cukup bermakna itu.

“Pihak penganjur dan Nourul telah berbincang dan bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh For You Nourul kepada 30 Mei 2026.

“Pertimbangan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk menghormati serta memberi laluan kepada dua perayaan utama umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

“Selain itu, pemilihan tarikh baharu ini juga dilihat lebih sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan. Kami mahu konsert ini menjadi satu keraian istimewa dalam suasana yang lebih selesa dan meriah,” katanya dalam satu kenyataan.

Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, berkata penjadualan semula itu turut memberi kelebihan dari segi penyusunan perjalanan konsert serta barisan artis jemputan.

“Penukaran tarikh ini adalah hasil perbincangan bagi menyusun semula keseluruhan perancangan konsert susulan perubahan penganjur daripada pihak terdahulu kepada syarikat saya sendiri,” katanya.

Penyanyi lagu Kerana Terluka itu bagaimanapun kekal optimis konsert berkenaan bakal mendapat sambutan hangat dan menjadi antara momen paling bermakna sepanjang lebih tiga dekad penglibatannya dalam industri seni.

Konsert For You Nourul akan berlangsung pada 30 Mei 2026, pukul 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket masih boleh didapati mengikut kategori yang ditawarkan iaitu RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 bagi VIP Box menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.

Orang ramai khususnya peminat setia Nourul dijangka tidak melepaskan peluang menghadiri konsert yang dijanjikan penuh emosi, nostalgia dan cinta itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN