PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menasihatkan orang ramai untuk menjaga adab ketika berada di restoran atau premis makanan terutamanya, sepanjang Ramadan ini.
Menurut Fazley, setiap pelanggan yang berkunjung di sesebuah restoran seharusnya belajar cara untuk menegur secara berhemah sekiranya terdapat kekurangan pada hidangan yang dipesan.
“Hanya mahu pesan, kalau kalian makan di luar bulan-bula puasa ini, bawa-bawalah bersabar bila makanan itu tidak rasa sedap di tekak kalian.
“Tidak perlu nak marah-marah, siap panggil pengurus bagai. Tak sedap di mulut kalian, tetap ada yang boleh makan dan nikmati makanan tersebut.
“Tak perlu sombong rasa macam kalian terpaling juri Masterchef,” katanya di Threads.
Tambah penyanyi lagu Asmara Ini tersebut, setiap individu juga haruslah bersabar dan memaafkan sekirang kekurangan yang ada pada sesebuah hidangan itu hanya kesalahan kecil sahaja.
“Bawa bersabar, kalau setakat terkurang rasa, atau masak kicap rasa macam kari hangit, maafkan sahaja mereka.
“Melainkan kalau dalam bubur lambuk ada anak hamster tengah kuak lentang!,” selorohnya.










