KUALA LUMPUR: Pelakon, Along Ezendy kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang, sejak jam 4 petang semalam apabila tahap kesihatannya merosot secara mendadak.
Isterinya, Hamidah Mohd Yatim berkata, Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan sebelum doktor mengesyaki berlaku jangkitan pada stent di saluran hempedunya.
Menurut Hamidah, hasil pemeriksaan imbasan ultrabunyi mendapati terdapat pembengkakan serta takungan nanah pada pundi hempedu suaminya.
“Semalam, doktor sudah menebuk pundi hempedu bagi mengeluarkan nanah dan memang terdapat darah kotor yang keluar. Doktor merancang untuk memberikan antibiotik bagi merawat jangkitan itu.
“Bagaimanapun, doktor terpaksa menidurkannya buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada badan Along berehat kerana dia berada dalam kesakitan yang amat sangat sehingga tidak dapat menjalani prosedur skop,” katanya.
Mengulas tempoh suaminya akan ditidurkan, Hamidah berkata, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada tahap ketahanan fizikal Along serta tindak balas organ dalaman lain.
“Jika dia kuat dan tiada kerosakan pada organ lain, Insya-Allah dia akan sedar dengan cepat. Kami berharap pendarahan yang dialaminya tidak serius supaya doktor dapat menjalankan prosedur skop esok untuk mengenal pasti punca pendarahan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidah memaklumkan semua ahli keluarga termasuk anak-anak serta saudara-mara dari Machang, Kelantan sudah berada di hospital bagi menemani dan memberi sokongan.
“Disebabkan jangkitan itu, tekanan darah, tahap hemoglobin dan bacaan platelet Along turun naik. Ada hari keadaannya baik, namun ada hari semua bacaan tersebut menurun.
“Tadi, semasa doktor sedang memasukkan platelet, tiba-tiba Along tidak sedarkan diri. Apabila dipanggil dan diminta membuka mata, dia langsung tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.











