KEMUNCULAN Farihin Arnia kini semakin mencuri perhatian. Nama yang masih ‘hijau’ tetapi sudah mula meniti bibir pengikut dunia hiburan arus perdana tempatan.
Lakonan bersahaja membawakan watak budak jahat bernama Johan dalam drama Kelas Belakang terbitan VIU menyerlahkan bakat anak Sabah ini.
Selain membintangi drama tersebut, Farihin atau Muhd Farihin Daniel Rodih turut berpeluang menyanyikan lagu latar Kelas Belakang iaitu Jatuh Bangun.
Pencapaian anak muda berusia 25 tahun ini tidak datang bergolek. Ia hasil usaha selepas beberapa tahun. Kerana itu, apabila ada yang menyangka Farihin melalui jalan mudah untuk masuk dunia lakonan, dia keras menyangkal.
“Orang mungkin sangka saya ikut jalan mudah sebab mereka tidak nampak liku dan kesukaran yang saya lalui.
“Bermula di Sabah, mencipta kandungan di Instagram tujuh tahun lalu. Ketika itu, tidak ramai berminat menonton video saya. Tapi lama kelamaan, ada penggemar.
“Kemudian saya berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur pada 2022. Itu juga satu peralihan yang mencabar. Berkelana di negeri orang demi peluang.
“Selepas semua yang saya lalui ini, kalau masih ada yang menyangka saya guna jalan mudah, saya terbuka,” katanya.
Farihin bersyukur kerana dia dipertemukan dengan sahabat-sahabat baik yang selalu berkongsi peluang.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan saya seperti Ryan dan Adam Bakery, Badron Munirah, Black serta Wan Chai yang terbuka menerima saya menyertai mereka dalam dunia penghasilan kandungan.
“Peluang yang saya dapat hari ini, selain berkat doa orang tua, juga disebabkan kawan-kawan ini yang banyak membantu dan memberi sokongan,” katanya lagi.
PIKUL HASRAT BAPA
Farihin mewarisi bakat bapanya, Rodih Madun yang merupakan pelakon teater dan drama yang aktif di Sabah.
Katanya, kedatangan ke Kuala Lumpur adalah berbekalkan hasrat bapanya yang tidak berpeluang meneruskan hasrat membina kerjaya lakonan di ibu negara.
“Ayah saya memberi galakkan ke semenanjung untuk mencari peluang. Tetapi dia juga memberikan saya satu tahun untuk mencuba nasib di sini.
“Jadi, setiap kali pulang ke Sabah, dia sentiasa bertanya tentang perkembangan kerjaya saya di sini.
“Sampai sekarang saya berpegang yang saya ke semenanjung bukan sahaja membawa hasrat sendiri tetapi juga impian dia yang semasa dia bujang dahulu, tidak kesampaian,” kongsinya.









