Hubungan keluarga artis runtuh gara-gara perangai isteri - Utusan Malaysia

Hubungan keluarga artis runtuh gara-gara perangai isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kata orang, bila seorang wanita terlalu ingin menjadi ratu dalam rumah tangga, ada harga yang perlu dibayar. Bukan wang ringgit, tetapi hubungan. Itulah yang berlegar-legar di bibir penggiat seni kebelakangan ini apabila seorang artis wanita yang kononnya lemah lembut di layar, tetapi bertaring di balik pintu. Dia dikatakan menjadi perosak senyap hubungan suaminya dengan keluarga sendiri.

Menurut sumber, si isteri ini bukanlah jenis yang mudah sebulu dengan sesiapa. Dengan ibu bapanya sendiri pun pernah retak, apatah lagi dengan keluarga mentua yang dianggap ‘asing’ dan kononnya terlalu masuk campur.

Dari mula berkahwin, katanya, ada saja api kecil yang dikipas jadi bara. Yang lebih mengundang bisik-bisik, sikap si artis wanita ini dalam industri juga bukan calang-calang. Jenis ‘kaki dengki’, itulah label yang berani disematkan oleh rakan-rakan yang pernah rapat.

Kalau ada yang lebih bersinar, akan ada cerita menyusul. Kalau ada yang naik, pasti ada sindiran yang jatuh. Paling tidak manis, nama suami pula yang sering diheret, seolah-olah menjadi perisai kepada perangai yang tidak terurus.

Cik Bunga dengar, suaminya pun diam seribu bahasa. Apa saja kelakuan isteri, tiada bantahan. Teguran hilang, pendirian luruh. Ada yang berbisik sinis,entah benar entah tidak, katanya lelaki itu macam sudah ‘terkena guna-guna.

Cik Bunga hanya mampu menghela nafas panjang. Dalam rumah tangga, cinta seharusnya menyatukan, bukan memisahkan. Bila suami terputus daripada ibu bapa, bila isteri memutuskan silaturahim, siapa sebenarnya yang menang?

Akhir kata, jika kisah ini betul berlaku, jadikanlah ia sebagai satu pengajaran. Cik Bunga harap, si wanita itu pun lekaskan sedar diri. Takut makin hanyut lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN