KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai pelakon, Ahirine, yang dikatakan bakal melangkah ke alam perkahwinan tidak lama lagi menjadi bahan bualan selepas tersebarnya perkongsian mengenai kehadirannya ke kursus kahwin baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahirine menjelaskan bahawa kehadirannya ke kursus tersebut tidak bermakna dia akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Menurut Ahirine, dia memang mengikuti kursus kahwin bersama teman istimewanya, namun perkara berkaitan tarikh nikah atau perancangan perkahwinan masih belum dibincangkan secara serius.
“Alhamdulillah, kami buat kursus kahwin sahaja dulu. Kalau bab tarik nikah dan semua itu, belum bincang lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon itu berkata keputusan menghadiri kursus kahwin dibuat sebagai langkah awal tanpa sebarang tekanan untuk segera berkahwin.
“Kita buat secara langkah demi langkah. Tak ada apa-apa yang perlu digesa. Untuk hadir ke kursus kahwin itu pun, saya sendiri yang ajak si dia,”katanya.
Berkongsi pengalaman sepanjang mengikuti kursus tersebut, Ahirine mengakui ia memberikan banyak pendedahan dan ilmu baharu, khususnya mengenai realiti alam rumah tangga.
“Pengalaman kursus kahwin itu memang menarik bagi saya. Banyak yang kita belajar tentang perkahwinan dan juga cabaran-cabaran yang bakal dihadapi,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila Ahirine dilihat telah lulus kursus kahwin, sekali gus mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan peminat mengenai status hubungannya dan perancangan masa depan pelakon itu.
Bagaimanapun, identiti pasangannya masih dirahsiakan pelakon ini.










