KUALA LUMPUR: Gandingan mantap yang pernah mencetus fenomena menerusi filem Janji Diana kembali menyatukan dua nama besar industri hiburan tanah air, Erra Fazira dan Rosyam Nor, apabila mereka diumumkan sebagai duta bersama gas memasak jenama ACGAS bagi tahun 2026.
Pelantikan tersebut bukan sekadar bersifat komersial, sebaliknya membawa mesej jelas mengenai kepentingan keselamatan dalam penggunaan gas domestik, selari dengan gaya hidup masyarakat masa kini.
Erra berkata, penerimaan tawaran sebagai duta dibuat atas dasar kepercayaan terhadap kualiti dan ciri keselamatan yang ditawarkan jenama berkenaan.
“Sebagai pengguna, saya sendiri menggunakan gas memasak setiap hari. Jadi apabila diberi peluang mewakili jenama yang menitikberatkan aspek keselamatan dan teknologi moden, saya rasa ia sangat bertepatan,” katanya.
Rosyam pula menyifatkan kerjasama itu sebagai kesinambungan hubungan yang sudah terjalin sebelum ini apabila ACGAS tampil sebagai penaja podcast kendaliannya bersama Erra, Hitam Putih Kehidupan.
“Daripada penajaan podcast, kini berkembang menjadi kerjasama rasmi sebagai duta. Ia seperti satu ikatan yang lahir secara semula jadi dengan matlamat yang sama iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan gas yang selamat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, pemilihan dua ikon tersebut selari dengan aspirasi syarikat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap produk gas domestik.
“Gas bukan sekadar keperluan dapur, tetapi melibatkan keselamatan isi rumah. Dengan kredibiliti Rosyam Nor dan Erra Fazira, kami mahu membina keyakinan pengguna terhadap teknologi silinder komposit yang lebih selamat dan moden,” jelasnya.
Menurut beliau, silinder komposit ACGAS direka lebih ringan, tidak berkarat dan lebih selamat untuk dikendalikan, sekali gus memudahkan pengguna terutama golongan wanita dan warga emas.
Malah, integrasi teknologi Internet of Things (IoT) serta RFID pada setiap silinder membolehkan pemantauan inventori secara masa nyata dan penjejakan pengedaran dilakukan dengan lebih telus serta efisien.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan di pasaran, ACGAS turut mengumumkan pelaburan hampir RM100 juta bagi membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Inisiatif itu dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab eksport ke pasaran Asia dan memperkasa peranan ACGAS sebagai pemain strategik industri LPG serantau.
Dengan gabungan pengaruh selebriti dan inovasi teknologi, kerjasama ini dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan penggunaan gas dalam kalangan masyarakat.










