Filem Duyung: Legenda Aurora dianggap filem paling kontroversi tahun lalu selepas menerima pelbagai kritikan dan kecaman gara-gara pelbagai kelemahan, antaranya mengenai penggunaan kostum dianggap murahan serta teknologi kecerdasan buatan (A.I) yang dibahaskan dalam laman sosial, platform dalam talian mahupun media arus perdana.
Ramai menyifatkan filem ini sebagai sebuah naskhah yang gagal dan mengecewakan penonton yang rata-ratanya menunggu sejak filem pertamanya ditayangkan sekitar 17 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkongsi sisi pandang berbeza dan lebih mendalam mengenai isu yang menghimpit filem yang sepatutnya diangkat sebagai naskhah ikonik ini. Berikut penjelasan Norman kami kongsikan dalam ruangan Jawablah kali ini.
Adakah filem Duyung: Legenda Aurora mencapai sasaran yang ditetapkan KRU Studios, 8 Bit Production dan Primeworks Studios?
Filem ini mencatat kutipan sebanyak RM1.1 juta selepas tamat tempoh tayangan. Walaupun ia tidak mencapai sasaran awal yang ditetapkan oleh ketiga-tiga penerbit semasa fasa persetujuan projek, saya tetap bersyukur kerana filem ini berjaya melepasi paras kutipan RM1 juta, meskipun berdepan kritikan hebat daripada netizen.
Ramai pihak mengkritik busana duyung yang dianggap tidak setanding dengan filem pertama. Komen Norman?
Keutamaan kami adalah keselamatan pelakon. Kostum terdahulu menjadi berat apabila menyerap air, menyebabkan pelakon Maya Karin nyaris lemas sebanyak dua kali ketika penggambaran filem pertama.
Dari sudut teknikal pula, pemakaian kostum Duyung terdahulu memakan masa masa enam jam sehari untuk disarungkan, menjadikannya tidak praktikal untuk penggambaran di kawasan laut terbuka.
Pihak produksi mencuba pelbagai alternatif termasuk menempah kostum dari pembekal tempatan, tetapi terpaksa menukar pilihan pada saat akhir kerana busana tersebut gagal disiapkan mengikut garis masa ditetapkan, selain isu kualiti yang tidak mencapai standard. Kerana kesuntukan masa, 8 Bit Productions, terpaksa menempah kostum dari pembekal luar negara sebagai jalan penyelesaian segera.
Secara peribadi, saya sendiri tidak berpuas hati dengan kostum yang digunakan apabila melihatnya buat kali pertama selepas sidang media pengumuman pelakon pada September 2024. Namun, penggambaran perlu diteruskan kerana komitmen yang telah dipersetujui dengan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, dari sudut positif, kostum yang digunakan dilengkapi dengan ekor yang mudah digerakkan, disamping warna yang lebih menarik berbanding versi 2008 serta elemen keselamatan yang lebih baik. Cuma, kritikan yang paling banyak ditujukan adalah berkaitan rekaan sisik yang dianggap tidak realistik.
Ramai turut beranggapan kostum disarungkan Datuk Seri Vida dalam video muzik lagu tema filem ini iaitu Lagu Happy lebih berkualiti berbanding kostum dalam filem.
Penggambaran video muzik Lagu Happy tidak melibatkan penggunaan kostum fizikal, sebaliknya Vida sekadar memakai baju kurung ketika penggambaran. Sisik dan ekor duyung dihasilkan dengan janaan kesan khas visual (VFX) yang dibantu teknologi AI. Pendekatan ini sesuai kerana kebanyakan syot dalam video muzik tersebut adalah bersifat statik.
Sebaliknya, majoriti syot dalam filem melibatkan pergerakan aktif dan interaksi fizikal, menjadikan penggunaan teknik tersebut jauh lebih kompleks.
Sekiranya pendekatan yang sama digunakan untuk filem, kos penerbitan akan meningkat, disamping kekangan masa yang tidak memungkinkan pelaksanaannya secara menyeluruh.
Penggunaan AI dalam filem ini juga antara yang diperkatakan ramai pengkritik filem. Apa pandangan Norman?
Penggunaan AI dalam penerbitan kesan khas visual bagi filem antarabangsa kini merupakan amalan biasa. Teras penerbitan masih berlandaskan proses kesan khas visual konvensional. Namun teknologi AI membolehkan penghasilan visual yang lebih berkualiti, pantas dan kos efektif. AI mempercepatkan proses animasi, simulasi dan komposit, sekali gus memperkaya penceritaan tanpa menghadkan imaginasi pengarah.
Duyung: Legenda Aurora melibatkan tiga syarikat produksi kesan visual (CGI), dua studio tempatan dan satu studio luar negara dengan lebih 600 syot CGI disiapkan bagi keseluruhan filem.
Banyak elemen CGI yang digunakan tidak disedari penonton mahupun pengkritik, antaranya menyempurnakan kepala watak Dr. Evo yang dibotakkan secara digital kerana kelemahan tatarias, serta pelbagai syot lain yang menyatu secara halus dalam penceritaan tanpa menarik perhatian atau kritikan.
Studio kesan visual yang terlibat menggunakan teknologi AI sebagai elemen sokongan untuk mempercepatkan proses, memudahkan kerja penerapan (rendering) dan meningkatkan kualiti visual. Namun, proses ini bukanlah mudah, tetap memerlukan kepakaran CGI profesional, kemahiran teknikal tinggi dan kos produksi yang signifikan, jauh berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan AI biasa.
Penggunaan AI dalam filem tidak wajar dipertikaikan, kerana ia telah digunakan secara meluas dalam industri perfileman antarabangsa. Malah, Duyung: Legenda Aurora boleh dianggap antara filem tempatan pertama yang menggunakan teknologi AI, melibatkan kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan syot filem.
Hakikatnya, pihak kami terpaksa menambah syot AI selepas ketiadaan pilihan bagi memantapkan penceritaan khususnya babak di penghujung cerita.
Sebagai penggiat industri berpengalaman, saya melihat penggunaan AI akan menjadi norma baharu dalam penghasilan kandungan kreatif, dan tidak mustahil dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang, akan wujud filem dihasilkan hampir sepenuhnya menggunakan teknologi AI.
Bagaimanapun, teras penceritaan tetap berpaksikan kepada lakonan sebenar. AI hanya alat, bukannya jalan pintas atau kerja malas, kerana hasil yang bermakna tetap memerlukan kepakaran, kreativiti dan jiwa manusia.
Sebagai penerbit yang telah menghasilkan puluhan filem, memenangi pelbagai anugerah dan mengeksport filem ke pasaran antarabangsa, apakah kesimpulan yang boleh diberikan tentang kualiti filem Duyung: Legenda Aurora?
Secara peribadi, saya berpendapat filem ini tetap menghiburkan dan mampu menyentuh emosi penonton, khususnya melalui elemen nostalgia hasil gabungan semula pelakon-pelakon asal.
Babak pertemuan semula antara Saiful Apek dan Maya Karin di kolam renang menyentuh hati saya. Saya mengakui terdapat kelemahan dari sudut teknikal yang sebenarnya boleh diperbaiki sekiranya mempunyai lebih masa sepanjang keseluruhan proses penerbitan bermula daripada penulisan skrip, pra-produksi, produksi hingga ke pasca-produksi.
Saya menerima segala kritikan yang diberikan dengan hati terbuka dan memikul tanggungjawab ini secara kolektif bersama rakan-rakan penerbit yang lain.
Apa yang boleh saya janjikan, pihak kami akan mengambil iktibar sepenuhnya dan memastikan karya seterusnya dihasilkan dengan perancangan serta pelaksanaan yang lebih rapi, tanpa mengulangi kelemahan yang sama.
Adakah francais filem Duyung akan diteruskan?
Bagi pihak KRU Studios, kami telah memuktamadkan bahawa francais filem ini tidak akan diteruskan dalam format sedia ada. Namun, kami tidak menolak kemungkinan francais ini berpotensi diberi nafas baharu sekiranya ia dikembangkan dalam bentuk spin-off, dengan perubahan genre daripada fantasi komedi kepada aksi fantasi, serta pendekatan penceritaan dan format yang lebih segar berasaskan salah satu watak utama.










