PETALING JAYA: Penyanyi, Elyana Emrizal tampil menitipkan pesanan kepada orang ramai sempena Hari Kanser Sedunia.
Elyana berkata, setiap individu seharusnya lebih sensitif sebelum menjadikan kesakitan yang ditanggung oleh seseorang pesakit kanser sebagai bahan gurauan atau ejekan.
“Jangan pernah mengejek rasa sakit yang belum pernah kau rasa,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kalis Rindu itu berharap orang ramai tidak meremehkan penderitaan yang dilalui oleh pesakit kanser memandangkan had kesabaran setiap individu adalah berbeza.
“Jangan pernah meremehkan beban sesiapa pun kerana sabarmu dan mereka tidak sama. Kita semua membawa beban yang berbeza,” ujarnya.
Menerusi perkongsian tersebut, Elyana turut berkongsi momen pahiy yang dilaluinya sepanjang 16 tahun menghidap kanser limfoma.
Pada Disember 2021, Elyana memaklumkan perjuangannya melawan kanser akhirnya membuahkan hasil apabila dia disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
Bagaimanapun, penyanyi itu memaklumkan dirinya kembali menjalani rawatan kimoterapi pada tahun lalu.
Terdahulu, Elyana mengumumkan dia menghidap kanser limfoma tahap keempat selepas tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017.
Elyana memberitahu dia menghidap penyakit itu sejak 2010 dan hayatnya dijangka hanya mampu bertahun selama hidup setahun sahaja.










