Dari pentas AJL ke PICC: Artis popular serikan Gema Raya Putrajaya 2026 - Utusan Malaysia

Dari pentas AJL ke PICC: Artis popular serikan Gema Raya Putrajaya 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026 @ Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dijangka menjadi antara tumpuan utama sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini apabila festival berkenaan bakal diserikan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air, sekali gus mengangkat acara itu sebagai platform hiburan dan keusahawanan berskala besar di Putrajaya.

Festival Ramadan–Raya yang berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga malam raya itu akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa penyanyi terkenal seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali pada hujung minggu terpilih.

Lebih menarik, kesemua artis terbabit merupakan bekas finalis pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), sekali gus menambah nilai eksklusif dan daya tarikan Gema Raya Putrajaya 2026 kepada pengunjung.

Turut memeriahkan festival tersebut ialah Bella Astillah, selain artis meningkat naik iaitu juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, Didie Shazry, serta kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, kehadiran barisan artis popular itu dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk hadir membeli-belah serta memeriahkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri sepanjang tempoh penganjuran.

Menurutnya, pembabitan artis bertaraf gred A yang pernah memenangi pelbagai anugerah turut menjadi penanda aras kepada kelangsungan serta kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa hadapan.

“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak khususnya para usahawan yang berniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke PICC,” katanya.

Rayme menjelaskan, keunikan Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sahaja terletak pada elemen hiburan, malah diperkukuhkan dengan konsep iftar dan moreh di puncak bukit yang diperkenalkan bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Pengunjung bukan sekadar datang membeli-belah atau menonton persembahan artis, tetapi turut berpeluang menikmati suasana iftar dan moreh secara santai di puncak bukit sambil menikmati panorama indah Putrajaya.

“Konsep ini memberi ruang kepada pengunjung untuk berehat, ‘healing’ serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan PICC sebagai lokasi utama penganjuran adalah bertepatan kerana bangunan ikonik itu menawarkan fasiliti bertaraf antarabangsa, ruang luas berhawa dingin serta kawasan luar yang sesuai untuk konsep santai dan aktiviti berbuka puasa.

Pada masa sama, Gema Raya Putrajaya turut berperanan sebagai platform strategik untuk artis mendekati peminat dalam suasana Ramadan dan Syawal yang lebih eksklusif.

Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Festival ini menggabungkan elemen keusahawanan, seni budaya, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Mengulas lanjut, Rayme memaklumkan bahawa lebih 150 daripada hampir 300 lot niaga telah habis terjual sejak dibuka pada Disember lalu dan baki lot dijangka habis dalam tempoh terdekat, sekali gus menepis dakwaan bahawa bazar Aidilfitri tahun ini kurang meriah.

Katanya, pihak Raydiates kini giat mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta dan yayasan sebagai rakan strategik serta penaja program.

“Nama Raydiates yang ditubuhkan pada 2023 kini mula menempa kepercayaan apabila diberi peluang mengendalikan beberapa acara besar melibatkan sektor kerajaan dan swasta,” katanya.

Sebagai rekod, Raydiates sebelum ini diberi kepercayaan mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal sempena Festival Ramadan Putrajaya 2025 yang berjaya menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari penganjuran.

Kejayaan itu turut dirasai oleh para peniaga apabila beberapa lot gerai dilaporkan mencatatkan jualan sehingga RM100,000, sekali gus menjadikan Anjung Syawal antara destinasi utama persiapan Aidilfitri di negara ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengisian acara, jadual persembahan artis, penyertaan vendor serta aktiviti menarik sepanjang penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026 boleh melayari laman web rasmi festival di www.klramadanfestival.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN