KEMBALI meneruskan perbincangan untuk filem-filem yang tercalon kategori Best Picture Anugerah Akademi (Oscar) tahun ini, mari kita bawakan naskhah komedi gelap Yorgos Lanthimos yang turut diramal memberi saingan sengit dalam pencalonan tahun ini iaitu Bugonia. Seperti filem-filem Lanthimos sebelum ini baik The Lobster (2015, The Favourite (2018, Dogtooth (2009) (sekadar menyebut beberapa) beliau seakan sudah mempuyai ‘singnature style’ iaitu dengan bancuhan elemen absurb, kritis dan grotesque.
Lanthimos menghadirkan Bugonia yang merupakan karya adaptasi daripada filem klasik Korea Selatan, Save the Green Planet! arahan Jang Joon-hwan pada 2003. Bagi melengkapkan Bugonia, Lanthimos bekerjasama dengan Will Tracy sebagai penulis skrip yang turut menulis salah satu filem kesukaan saya pada 2022, The Menu. Bagi saya pilihan yang sangat kena untuk filem genre ‘dark comedy-thriller’.
Bugonia dikutip daripada perkataan Yunani bermaksud lebah yang lahir dari bangkai. Filem ini dibuka dengan imej lebah-lebah hinggap di bunga-bunga berlatarkan suara Teddy (Jesse Plemons) menceritakan keresahannya tentang lebah yang sudah semakin pupus. Seiring filem berjalan, kita mula faham kerisauan Teddy lahir kerana sebuah syarikat dan kilang fermasikual di kawasan mereka memberi kesan kepada alam sekitar sekali gus mempengaruhi jumlah lebah yang mampu bertahan saban tahun.
Teddy seorang lelaki yang percaya kepada konspirasi makhluk asing percaya bahawa dia mesti menyelamatkan lebah dan juga manusia daripada semakin pupus akibat makhluk asing. Teddy dan sepupunya yang autistik, Donny (Aidan Delbis) percaya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Auxolith Corp, Michelle Fuller (Emma Stone) percaya wanita korporat itu adalah makhuk asing, Andromedan.
Mereka menculik Michelle, memetik dialog Teddy ketika berbasikal bersama Don di suatu petang, katanya lebih kurang begini ‘mereka lain daripada kita, kita tidak berbahaya, tiada harapan..,’
Dengan begitu mudah, Teddy dan Don menculik Michelle, mencukur habis rambutnya yang dipercayai alat interaksi kepada ibu makhluk asing.
Di sini saya harus memuji Emma, kerana bukan sahaja memberikan lakonan yang sangat menyakinkan malah menunjukkan komitmen apabila sanggup mencukur rambut aslinya, menjadi botak untuk adegan dalam kereta itu.
Sangat layak untuk seorang Emma Stone tercalon dalam kategori pelakon wanita terbaik walau saingan sengit. Namun jika Stone berjaya, dia akan mencipta sejarah, membawa pulang tiga kali trofi Oscar yang jarang-jarang diperoleh mana-mana pelakon wanita sebelum ini.
Kembali membahaskan inti dalam Bugonia, kita akan melihat bagaimana terpisahnya dunia orang-orang kaya dengan orang biasa dan bagaimana persoalan tentang kemanusiaan dibahaskan. Dalam babak antara Teddy dan Michelle, terutama adegan bilik bawah tanah, Bugonia membogelkan perangai orang-orang korporat akan menggunakan perkataan yang nampak besar, memberi ilusi kepada sebuah rasa ‘kisah’ tentang kemanusiaan sedangkan mereka tidak benar-benar peduli sebenarnya.
Malah dalam adegan lain ketika Teddy menegaskan prinsip dan kekhuatirannya terhadap kekadaan lebah-lebah. Michelle dengan sangat santai tanpa rasa bersalah berkata, kehilangan dan kepupusan lebah disebabkan salah lebah yang lemah, tidak mampu bertahan.
Saya berpendapat, lebah-lebah yang dalam Bugonia adalah simbolik kepada orang-orang marhaen seperti kita yang bekerja keras. Tapi akhirnya, kita makin ‘hilang’ dibunuh syaitan-syaitan korporat dengan sistem yang entah-entah. Dalam kes ini, bagaimana syarikat gergasi mengancam udara dan bunga-bunga tempat kita mengumpul madu.
Malah, menerusi filem ini juga, kita dapat melihat bagaimana Michelle memanipulasi kepercayaan Teddy dan teori makhluk asingnya hanya untuk membuatnya lebih tersiksa. Sedang dia tahu bagaimana dia sangat mahukan penawar untuk ibunya yang terlantar di wad. Teddy ibarat menelan ludahnya sendiri sedang dia pernah mengingatkan Don makhluk asing ini memang kaki kencing, hati-hati sahajalah.
Don yang dilakonkan oleh Aidan Delbis sangat menarik, untuk pengetahuan semua, delbis juga memang seorang autistik di dunia nyata dan Begonia memberikan representasi yang wajar buatnya. Tapi dari lensa
Don, seorang yang mungkin kita rasa tidak sempurna menunjukkan manusiawi yang sebenar, ditengah-tengah antara manipulasi orang kaya dan ketaksuban pada pemegang teori yang aneh-aneh.
Begonia ditutup dengan kehancuran dan nyanyian daripada Marlene Dietrich, bertajuk Where Have All the Flowers Gone? Sebuah penyesalan berulang-ulang dan sampai kesudah kita tidak mahu belajar daripada semua kebinasaan yang pernah terjadi dalam alam sebelum ini.









