PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat memaklumkan dirinya telah selesai menjalani prosedur menjahit semula luka pembedahan bersalin yang bocor, sebentar tadi.
Menurut Ayda, buat masa sekarang dia tidak dapat melakukan sebarang aktiviti lasak terlebih dahulu untuk tempoh beberapa hari.
“Saya sudah selesai jahit (prosedur menjahit semula luka pembedahan bersalin). Masih tak boleh lasak. Tetapi Alhamdulillah,dah tak seriau sangat,” kongsinya di Threads.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya menasihatkan agar Ayda menjaga kesihatan serta sentiasa berhati-hati dalam melakukan sebarang aktiviti lasak.
Sebelum ini, suaminya, Nabil Mahir memaklumkan Ayda mengalami komplikasi kecil pada bahagian jahitan di perutnya selepas melahirkan cahaya mata ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.
Katanya, bahagian jahitan pembedahan tersebut dikatakan sedikit terbuka dan bernanah sehingga mereka perlu ke hospital untuk membersihkannya.
Aktif berkongsi perkembangan semasa tentang isterinya, Nabil turut memaklumkan prosedur tersebut dijalankan kerana penyanyi itu bertegas mahu menghadiri Celebfest Singapore pada Jumaat ini.
Untuk info, Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla.










