Dalam landskap perfileman serantau yang semakin terbuka dan saling bersilang, nama Bront Palarae muncul sebagai antara contoh paling jelas bahawa sempadan negara bukan lagi penentu nilai seseorang pengkarya.
Ketika sebahagian pihak masih terperangkap dengan naratif kononnya bakat Malaysia dipandang rendah di luar negara, pelakon tempatan bertaraf antarabangsa ini tampil membetulkan persepsi sambil menegaskan bahawa realiti di lapangan jauh berbeza daripada sangkaan umum.
Menurut Bront, pengalaman bekerja secara konsisten di Indonesia dan Thailand bukan sahaja membuktikan penerimaan positif terhadap anak seni Malaysia, malah memperlihatkan rasa hormat yang tinggi daripada pengkarya luar terhadap kualiti kerja, disiplin serta sudut pandang kreatif yang dibawa oleh penggiat seni tempatan.
“Saya pernah duduk berbincang secara terbuka dengan pelakon dan pengkarya yang memang ada nama di sana. Soalan tentang kononnya wujud penolakan atau cabaran terhadap pelakon Malaysia itu pernah saya lontarkan sendiri. Jawapan mereka sangat jelas.
“Mereka tidak ada masalah langsung selagi karya itu berkualiti. Yang mereka tidak mahu ialah dipaksa menerima sesuatu yang tidak menawarkan nilai baharu kepada pasaran mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Bront, industri perfileman luar, khususnya Indonesia, bergerak atas prinsip merit dan keterbukaan, bukan sentimen kebangsaan atau perlindungan melampau terhadap pasaran sendiri.
“Indonesia itu pasaran terbuka. Mereka tidak ada budaya ‘protectionism’ yang ketat seperti syarat wajib tayang. Kalau karya itu bagus, mereka terima. Kalau tidak menjadi, selalunya soal masa dan jodoh, bukan kerana sentimen anti-Malaysia. Malah, kebanyakan filem Malaysia yang masuk ke sana dibawa oleh syarikat Indonesia sendiri. Itu satu fakta yang orang jarang cakap,” jelasnya.
Mengulas mengenai kecenderungannya bekerja di luar negara, Bront menolak dakwaan bahawa ia berpunca daripada kegagalan industri tempatan menghargai bakatnya.
Sebaliknya, dia menyifatkan perjalanan kerjayanya sebagai hasil pertemuan antara masa, naskhah dan pasukan kerja yang tepat.
“Setiap tahun memang ada niat untuk buat projek tempatan. Tapi realitinya, projek lokal ini kadang-kadang mengambil masa. Kita kata tunggu bulan depan, tahu-tahu sudah setahun, kemudian dua tahun berlalu.
“Bila akhirnya jumpa skrip yang betul, pasukan yang serasi, barulah rasa yakin untuk melangkah. Ini bukan soal memilih luar berbanding dalam, tetapi soal memilih karya yang memberi makna,” katanya.
Selain itu, sebagai pelakon yang telah lebih 15 tahun berada dalam industri, Bront mengakui bahawa bekerja di luar negara memberikan dimensi baharu terhadap caranya menilai bidang lakonan.
“Bila kita lama berada dalam satu industri, ada kemungkinan kita sendiri mengambil mudah perkara yang kita buat setiap hari. Apabila bekerja di luar, semuanya terasa baharu, budaya kerja, dinamika set, cara berfikir. Kita dapat kawan baharu, pengalaman baharu, dan perspektif yang lebih luas. Semua itu memperkayakan kita, bukan menjauhkan kita daripada akar sendiri,” ujarnya.
Selain itu, Bront turut melihat fenomena pelakon Malaysia yang semakin dikenali di Indonesia sebagai perkembangan strategik yang memberi manfaat jangka panjang kepada industri tempatan.
“Apabila penonton Indonesia mula mengenali pelakon Malaysia, mereka lebih terbuka untuk menerima filem Malaysia. Ini soal kepercayaan penonton. Bila ada wajah yang mereka kenal dan hormati, separuh jalan sudah terbuka. Sebab itu saya sentiasa rasa industri ini patut bergerak sebagai satu gagasan serantau, bukan terpisah ikut sempadan negara,” katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui tanggungjawab sosial seorang penggiat seni bukan terhenti pada kejayaan peribadi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.
“Setiap kali saya bekerja di luar, saya akan kongsi apa yang saya belajar teknik, pendekatan produksi, cara pasukan bekerja. Kalau ada yang boleh diaplikasikan dalam konteks tempatan dan membantu meningkatkan mutu industri, itu sudah satu sumbangan. Kita mungkin tak mampu membantu secara besar-besaran, tetapi perubahan kecil yang konsisten juga penting,” jelasnya.










