TANAH MERAH: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan tiga kluster tuberkulosis (tibi) melibatkan sembilan kes aktif sejak hujung tahun lalu membabitkan daerah Kota Bharu dan Bachok.
Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, semua kes itu melibatkan warga tempatan dan kawasan wabak berkenaan sedang dipantau rapi.
“Dua lokaliti wabak itu di Kampung Padang Salim dan Guchil Bayam di Kota Bharu dan satu lokaliti di Kampung Anak Rhu Melawi Bachok.
“Semua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan sedang dipantau rapi oleh pihak kementerian,” katanya selepas merasmikan program Outreach Literasi Kesihatan Diabetes Pertingkat Daerah Tanah Merah di Masjid Mukim Batu 11 di sini, hari ini.
Dr. Mohd. Azman berkata, pihaknya mengambil langkah pencegahan dan pemeriksaan ke atas semua ahli keluarga pesakit tersebut.
“Kita mengambil tindakan bagi membendung penularan wabak itu dengan mengambil langkah pencegahan di institusi sekolah dan komuniti.
“Orang ramai yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam diminta supaya segera menjalani saringan kesihatan,” ujarnya.
Dr. Azman berkata, tahun lalu terdapat 16 wabak tibi dengan jumlah pesakit 43 orang. – UTUSAN









