KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli mengakui masih melalui fasa pemulihan emosi selepas dua minggu sah bercerai dengan isterinya, aktres Uqasha Senrose.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata episod yang dilalui bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi, malah dia terpaksa menyembunyikan perasaan sebenar ketika menjalani penggambaran demi komitmen kerja.
Menurutnya, kesibukan bekerja sedikit sebanyak membantu mengalihkan tumpuan, namun hakikatnya dia masih bergelut dengan perasaan kecewa yang mendalam.
“Saya seronok bila sibuk bekerja dan dalam masa sama sedang melalui proses pemulihan. Situasi ini sangat baharu buat saya dan bukan sesuatu yang pernah saya alami sebelum ini.
“Di set penggambaran, saya hanya berpura-pura tenang walaupun hakikatnya tidak begitu,” katanya.
Kamal turut mendedahkan tekanan emosi yang dialami memberi kesan ketara terhadap kesihatan diri apabila dia hilang selera makan sehingga berat badannya menyusut dengan mendadak.
“Saya tidak boleh menipu diri sendiri, sebenarnya saya memang ‘koyak’. Namun saya tetap perlu meneruskan penggambaran kerana itu sumber rezeki saya.
“Sampai satu tahap, saya langsung tidak berselera untuk makan. Walaupun sedang berdiet, situasi ini seolah-olah mempercepatkan keadaan tersebut,” ujarnya.
Tambah pelakon itu, masih banyak perkara yang perlu dihadam dan dia lebih memilih untuk menghabiskan masa bersendirian apabila pulang ke rumah bagi menenangkan diri.
“Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, bila bersendirian barulah saya berpeluang untuk berfikir dan menenangkan diri.
“Selepas selesai kerja, saya hanya berada di dalam bilik, berfikir, menunaikan solat dan melakukan apa sahaja yang termampu.
“Ia mungkin tidak membantu sepenuhnya, namun saya tetap bersyukur kerana tawaran kerja masih ada,” katanya.
Dalam pada itu, Kamal turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan di set penggambaran yang sentiasa memberi sokongan moral tanpa mengungkit isu peribadinya.
“Mereka tahu keadaan saya, tetapi tidak pernah membuka cerita mengenai perkara itu. Sebaliknya, mereka hanya cuba menceriakan saya,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan.










