Tiada usaha memujuk, cuma serangan emosi yang saya terima - Linda Hashim - Utusan Malaysia

Tiada usaha memujuk, cuma serangan emosi yang saya terima – Linda Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim, menafikan dakwaan kononnya suaminya, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, pernah berusaha memujuknya sebagai langkah memulihkan rumah tangga mereka.

Menurut Linda, sepanjang tempoh konflik tersebut, tidak pernah berlaku sebarang usaha pujuk rayu daripada pihak suaminya sebaliknya apa yang diterima hanyalah tekanan dan serangan emosi yang berulang.

“Tidak pernah berlaku sebarang pujuk rayu daripada pihaknya. Cara yang berlaku hanyalah serangan terhadap saya. Tiada langsung usaha memujuk.

“Jika benar sayang, tidak mungkin seseorang sanggup melakukan perkara buruk di belakang pasangan sendiri. Tentang usaha memujuk, saya hanya mendengar cakap-cakap, tetapi tiada sebarang usaha dilakukan.

“Dia sendiri sudah tahu perkara ini sudah sampai ke penghujung dan tidak boleh diperbetulkan lagi. Jadi, saya tidak nampak di mana usaha yang dikatakan itu dan tiada bukti mengenainya,” ujarnya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selain itu, Linda mengakui mengehadkan komunikasinya dengan Beego namun menegaskan tindakan menyekat suaminya dibuat demi menjaga kesihatan mental sendiri selepas berdepan gangguan yang disifatkan sebagai penderaan emosi.

“Gangguan yang saya terima sangat menekan mental. Saya diserang berulang kali walaupun tidak berbuat apa-apa. Selain itu, saya juga sering menerima video-video berkaitan isteri derhaka daripada Beego.

“Saya pergi ke rumah sendiri pun tetap diserang. Disebabkan itu, saya tiada pilihan selain menyekatnya,” katanya.

Bagaimanapun, Linda menafikan dakwaan bahawa suaminya langsung tidak mempunyai ruang untuk berkomunikasi dengannya.

Jelasnya, satu platform khas masih dibuka bagi urusan berkaitan anak-anak.

“Di situ kami masih berhubung, boleh hantar gambar, buat panggilan dan berkongsi perkara berkaitan anak seperti baju sekolah dan keperluan lain.

“Jadi dakwaan dia langsung tidak boleh berkomunikasi dengan saya adalah tidak benar.

Dia boleh datang ke rumah saya, masuk ke rumah dan mengambil anak tanpa sebarang halangan. Rumah kami pun berdekatan dan boleh saling nampak,” katanya.

Sementara itu, Beego ketika ditemui berkata, dirinya tidak berniat menangguhkan sebaliknya masih berusaha untuk memujuk isterinya itu untuk memperbaiki konflik rumah tangga mereka.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekali lagi menangguhkan prosiding pengesahan lafaz taklik pasangan selebriti Linda Hashim dan Beego pada 9 Februari depan.

Penangguhan tersebut disebabkan Beego atau  nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, memohon untuk membela diri.

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun, mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN