KUALA LUMPUR: Gelombang sokongan luar biasa daripada artis dan peminat tempatan dilihat menjadi pemangkin kepada kejayaan global single “Die On This Hill” nyanyian Sienna Spiro, sehingga lagu berkenaan berjaya menduduki tangga teratas Carta Harian Spotify Top 50 Malaysia dan menjadi trending di YouTube Malaysia.
Fenomena ini tercetus apabila beberapa artis tempatan ternama termasuk Ernie Zakri, Diana Danielle dan Syamel memuat naik versi cover lagu berkenaan di platform media sosial, sekali gus mencuri perhatian pendengar tempatan dan antarabangsa.
Kesan daripada sokongan itu, “Die On This Hill” terus mencatat pencapaian membanggakan di peringkat global apabila merekodkan lebih 173 juta strim, selain berada di kedudukan ke-12 carta Spotify Amerika Syarikat serta meraih tempat No. 1 dan muka hadapan playlist Today’s Top Hits.
Lagu balada berkenaan turut tersenarai dalam carta di 28 pasaran global, termasuk Top 50 di 20 negara, selain mencatat kedudukan ke-9 Carta Single UK, ke-15 Carta Lagu Apple Music Global dan Amerika Syarikat, serta menembusi Carta Billboard Hot 100 di tangga ke-54 dan terus menunjukkan peningkatan.
Di Malaysia, impak lagu itu semakin ketara apabila kandungan berkaitan ‘Die On This Hill’ mencatat lebih 220 juta tontonan di TikTok, menjadikannya antara topik muzik paling tular di negara ini.
Menambah keterujaan peminat, Sienna Spiro sendiri tampil memberi reaksi apabila meninggalkan komen “Love this” berserta emoji hati pada video cover nyanyian Ernie Zakri dan Syamel, sekali gus memperlihatkan penghargaan terhadap sokongan luar biasa dari Malaysia.
Dengan vokal yang memukau dan penceritaan emosi yang kuat, penyanyi-penulis lagu kelahiran United Kingdom berusia 20 tahun itu semakin mencuri perhatian dunia muzik.
Lagu-lagu bersifat sinematik dan ‘soulful’ nyanyiannya dilihat dekat di hati pendengar, termasuk di Malaysia yang kini menjadi antara pasaran paling aktif menyokong karyanya.
Lonjakan populariti itu turut membuka laluan kepada kemunculan Sienna di pentas antarabangsa apabila beliau membuat persembahan di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, Later… with Jools Holland dan The Today Show, selain membuka persembahan untuk residensi bersejarah Sam Smith: ‘To Be Free: New York City’ selama enam malam pada akhir 2025.
Menjelang penghujung tahun lalu, Sienna turut menghiasi kulit Notion Magazine, menerima pujian daripada penerbitan berpengaruh seperti Rolling Stone, Wonderland dan Dazed, selain membuat persembahan di COLORSxSTUDIOS dan membintangi kempen Gap ‘Give Your Gift’.









