KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad menegur trend segelintir pencipta kandungan di media sosial yang gemar menghasilkan video berunsur ‘takut bini’, yang menurutnya boleh memberi kesan buruk terhadap keharmonian rumah tangga.
Menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, Sharnaaz menegaskan bahawa teguran tersebut bukan bertujuan untuk mencetuskan kontroversi, sebaliknya sebagai nasihat ikhlas berdasarkan pengalaman hidupnya.
“Saya bukan marah. Ini lebih kepada nasihat kepada content creator yang suka buat video. Kita memang kena ikut peredaran zaman, tapi kita juga kena sedar apa yang kita pengaruhi kepada orang ramai, khususnya dalam hal perkahwinan,” katanya.
Menurut Sharnaaz, walaupun kandungan berunsur humor dan hiburan sememangnya digemari masyarakat, namun content yang menggambarkan lelaki sebagai terlalu takut kepada isteri boleh memberi impak negatif dalam jangka masa panjang.
Pelakon filem Bloodbrothers itu menjelaskan bahawa watak yang sering dilakonkan dalam kandungan sedemikian berpotensi terbawa-bawa ke dalam kehidupan sebenar.
“Apa yang kita lakonkan itu, lama-lama akan jadi sebahagian daripada cara kita bercakap dan melayan pasangan. Saya perasan, ramai yang buat content macam ini, akhirnya berakhir dengan perceraian,” katanya.
Tambah Sharnaaz, wanita sememangnya perlu dihormati dan memainkan peranan penting dalam kehidupan lelaki, namun konsep hormat itu tidak seharusnya disalah tafsir sehingga mewujudkan hubungan yang tidak seimbang dalam perkahwinan.
“Kita bukan takut dengan wanita, kita hormat wanita. Tapi kalau dalam perkahwinan, lelaki sampai takut, perkahwinan itu akan ada masalah,” ujarnya.
Pelakon itu turut berkongsi bahawa nasihat tersebut lahir daripada pemerhatian dan pengalaman peribadinya, selain tidak mahu melihat lebih ramai pasangan suami isteri terjerumus ke kancah perceraian akibat pengaruh kandungan media sosial yang tidak terkawal.
Dalam masa sama, Sharnaaz mengingatkan pencipta kandungan agar tidak terlalu mengejar keuntungan sehingga mengabaikan maruah diri dan nilai-nilai yang boleh menjejaskan institusi keluarga.
“Jangan sampai semata-mata nak cari duit, akhirnya kita memalukan diri sendiri dan memberi contoh yang salah kepada masyarakat,” katanya.










