PETALING JAYA: Di saat bahang konsert kian terasa, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mendedahkan situasi semasa di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Konsert Legasi 30 Siti Nurhaliza, Sabtu ini.
Meskipun masih lagi dalam proses membuat persiapan, Siti menegaskan agar tiada pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang video yang boleh menimbulkan spekulasi orang ramai.
“Ini yang saya marah bila suka-suka masuk dalam dan buat video.
“Semua belum siap dan yang tengok video ini pun tidak perlu buat penilaian awal ya,” katanya.
Teguran itu diberikan oleh Siti terhadap seorang pengguna TikTok yang memuat naik rakaman video yang memaparkan suasana persiapan konsert di stadium tersebut.
Cakna dengan perkara itu, rata-rata netizen turut menasihatkan agar individu tersebut menurunkan semula video berkenaan demi menghormati proses persiapan yang sedang giat dijalankan sebelum menjelang hari konsert.
Konsert Legasi 30 Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari ini telah mencetuskan fenomena yang luar biasa dalam kalangan peminat setia penyanyi lagu Menamakanmu Cinta itu.










