KUALA LUMPUR: Pelakon, Beego,45, menegaskan dia reda dan langsung tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap isterinya, Linda Hashim, 41, berhubung isu kononnya dia tidak meminta izin sebelum berangkat menunaikan umrah ke Tanah Suci Makkah pada 24 Disember lalu.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah berkata, kiriman mesej yang dihantarnya kepada Linda sebelum itu sekadar satu peringatan berhubung status mereka yang masih sah sebagai suami isteri.
“Saya tak marah pun. Sebagai suami, bila isteri nak pergi umrah, saya reda sahaja. Cuma saya ingatkan, dia masih lagi seorang isteri,” katanya.
Menurut Beego, isterinya tidak pernah meminta izin secara rasmi, sebaliknya perkara itu dianggap sebagai gurauan atau manja-manja antara mereka.
“Dia tak ada pun minta izin. Biasalah, manja-manja sahaja. Kalau dia nak ambil perkara itu dan terasa, terpulang kepada dia. Saya pula bukan jenis nak muat naik semua benda,” ujarnya.
Tambah pelakon itu, niatnya hanyalah mahu dihormati sebagai suami, walaupun rumah tangga mereka kini sedang melalui fasa sukar.
“Sekurang-kurangnya cakaplah ‘Assalamualaikum, saya nak minta izin pergi umrah’. Itu sahaja. Saya tak ada niat lain,” katanya ketika ditemui pemberita, di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Beego menjelaskan bahawa walaupun hubungan mereka masih dalam proses mahkamah dan Linda sudah menyatakan keinginan untuk berpisah, status perkahwinan mereka masih belum terlerai.
“Selagi belum selesai di mahkamah, status dia masih isteri saya. Jadi saya persoalkan, salah ke sebagai suami bila isteri pergi dan tak minta izin? Tak apalah, nak buat macam mana,” katanya.
Beego bagaimanapun menegaskan dia memilih untuk berlapang dada dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.
Terdahulu, Linda mencuri perhatian ramai apabila berkongsi tangkap layar mesej dipercayai dihantar Beego berhubung ibadah umrah itu.
Dalam mesej tersebut, Beego dilaporkan menulis: ‘Pergi umrah nanti pasti ada kifarah. Sama ada baik atau buruk, sebab masih berstatus isteri.’










