KIRA-KIRA 24 tahun lalu, penyanyi ini bersama lapan pemuzik lain berhijrah dari Cebu, Filipina ke Kuala Lumpur apabila ditawarkan kerja di Malaysia. Mark Adam ketika itu berusia 21 tahun.
Faktor yang mendorong empunya nama sebenar Fikri Mark Adam Abdullah membuat keputusan itu adalah kerana kesihatan mendiang bapanya ketika itu yang menderita parkinson.
Pendapatannya sebagai buruh kilang selain menjadi pemuzik di Cebu tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan bapanya. Justeru Mark berpindah ke Malaysia, beberapa tahun bermain muzik di kelab malam sebelum bergelar artis rakaman.
Mark Adam mula dikenali setelah beberapa lagu dalam album sulungnya diterima baik pendengar. Antaranya adalah Pencuri dan Marry Me.
Mark membuktikan yang dirinya bukan sekadar penyanyi berbakat, malah juga pencipta lagu serta pemuzik hebat.
Namun, realitinya, penyanyi berusia 46 tahun ini lebih berjaya ‘membeli jiwa’ peminat dengan telatahnya berbahasa Melayu yang dianggap lucu dan menghiburkan.
Mark tidak menafikan sebelum menyertai Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), karier muziknya bergerak agak perlahan berbanding kerjaya sebagai seorang pelawak.
“Saya suka menghiburkan orang, buat mereka gembira. Ini kerana saya membesar dalam persekitaran di mana lawak jenaka dan gurauan itu sebahagian daripada kebahagiaan keluarga.
“Saya terbawa-bawa perangai itu sampai ke alam dewasa. Perangai lucu itu bukan dibuat-buat, sejak dulu lagi saya memang begini orangnya.
“Saya memang tidak boleh hindari gelaran ‘pak lawak’ itu. Itulah diri saya sebenar dan ia tidak dibuat-buat,” katanya kepada Pancaindera.
Ditanya adakah dia senang apabila sisi humornya lebih dipandang berbanding bakat nyanyian, Mark berkata, dia berserah dengan ketentuan yang terbaik untuknya.
“Saya cuma cari makan untuk keluarga. Apa sahaja peluang yang datang, saya tidak boleh lepaskan. Menyanyi atau melawak, keduanya rezeki Allah berikan.
“Benar, asalnya saya datang ke Malaysia sebagai pemuzik. Tapi Allah juga bukakan banyak pintu rezeki dalam bidang komedi. Saya bersyukur rezeki tidak putus,” ujarnya.

GV12
Berkongsi tentang Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Mark menganggap dirinya cukup beruntung kerana terpilih sebagai peserta program nyanyian nombor satu itu.
Bahkan dia menganggap GV12 bukan semata-mata pertandingan, tetapi juga sebuah sekolah nyanyian dan seni persembahan.
“GV sebuah pentas yang gah. Ia platform luar biasa. Pertandingan ini mempersiapkan saya untuk menjadi penyanyi yang bagus.
“Penonton tidak melihat cabaran kami di belakang tabir, yang diberi hanya satu minggu untuk membuat persiapan menjelang konsert mingguan.
“Malah bukan semua lagu yang ditugaskan adalah ‘makanan’ peserta. Saya pula hanya berpeluang menyanyikan lagu yang sesuai pada minggu pertama, 10 dan 11. Selebihnya lagu yang asing buat saya,” jelasnya.
Ujar Mark, antara kelebihan sebagai peserta GV adalah peluang menimba ilmu daripada barisan juri yang jauh lebih berpengalaman dalam bidang muzik dan nyanyian.
“Tidak semua penyanyi dapat bimbingan dan peluang bekerja dengan Datuk Ramli MS. Kerana GV saya dapat peluang itu. Beliau, dan juri lain berkongsi banyak ilmu dengan peserta,” kongsinya.

Erti Hidup Susah
Dalam perbualan kami, Mark ada berkongsi kisah perjalanan hidup di Filipina. Membesar dalam serba kekurangan sentiasa mengingatkan dirinya untuk selalu merendah diri dan mensyukuri nikmat kehidupan kurniaan Allah.
“Di Cebu, kami tinggal bersama saudara mara dalam sebuah rumah kecil dua tingkat yang dibina berdekatan kawasan pantai. Dalam satu rumah ada 20 penghuni.
“Walaupun miskin dan serba kekurangan, kami tidak pernah rasa susah kerana kami bahagia walaupun tidur atas lantai berpasir, bersempit-sempit dan berkongsi makanan.
“Dalam kemiskinan itu kami cari kebaikan. Rupanya hidup susah ini melatih dan mempersiapkan kami, mendidik kami menjadi manusia yang reda.
“Walaupun kurang makan, kurang bekalan air bersih dan kurang segala-galanya, kami tetap ada keluarga,” ujarnya.
Mark pada masa sama, tidak menafikan yang dia memendam rindu yang menebal terhadap keluarga di Filipina lebih-lebih lagi selepas enam tahun tidak pulang ke kampung halaman.
“Dulu saya kerap pulang ke kampung. Namun selepas pandemik, saya berdepan ketidakstabilan kewangan dan terpaksa menunda hasrat pulang ke kampung sampailah sekarang.
“Saya bersyukur kerana adanya teknologi yang menghubungkan saya dengan keluarga di Filipina,” katanya.







