KUALA LUMPUR: Perniagaan air popular menjadi punca lima selebriti dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berhubung aktiviti pengubahan wang haram.
Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad yang mengesahkan turut dipanggil memberi keterangan menjelaskan dia tidak ada kaitan dengan siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Sebaliknya, jelas Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, dia hanya ditanya berkenaan kedai minuman air popular itu di Seremban.
“Memang dipanggil tetapi apabila mereka tahu kedai minuman saya tidak beroperasi lagi, jadi tiada lagi soalan berkaitan. Kehadiran saya juga tidak sampai 30 minit,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penyanyi kelahiran Filipina, Mark Adam juga salah seorang daripada lima selebriti yang diminta memberi keterangan berkaitan siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, jelas penyanyi itu, dia tidak ke Putrajaya tetapi SPRM sendiri turun ke set penggambaran untuk bertemunya bagi mendapatkan kenyataan berhubung siasatan itu.
“Soal jawab berlangsung selama dua jam lebih dan saya sendiri tidak ada kena mengena dengan kes tersebut. Sekadar membantu siasatan kerana penglibatan secara tidak langsung dalam perniagaan air itu.
“Malah, saya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian untuk membuka cawangan perniagaan air tersebut. Itu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, bekas isteri kepada pelakon, Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila turut mengakui dipanggil SPRM bagi membantu siasatan atas kapasiti sebagai bekas isteri kepada pelakon tersebut.
“Betul saya telah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan selaku bekas isteri Sharnaaz. Ini kerana Sharnaaz terlibat dalam perniagaan air itu ketika kami masih dalam proses perceraian.
“Proses soal jawab itu juga tidak lama, satu jam sahaja. Saya memberi kerjasama penuh dan dipanggil kerana mematuhi formaliti siasatan,” katanya.
Bagaimanapun, Sharnaaz ketika dihubungi enggan mengesahkan sama ada dia adalah salah seorang daripada lima selebriti yang dipanggil SPRM.
“Nanti saya buat sidang media ya. Setakat ini saya tiada jawapan untuk soalan itu,” katanya.
Malah, usaha mendapatkan Shuib yang juga salah seorang lagi artis yang dipanggil semalam tidak membuahkan hasil apabila dia enggan memberikan kenyataan berhubung perkara itu.-UTUSAN









