Umum tahu, industri hiburan suka bercakap tentang bakat, peluang, dan hasil kerja seni. Tetapi di belakang tabir, jangan tidak tahu, industri ini juga pandai menyimpan bangkai.
Hendak dijadikan cerita, adalah seorang pekerja produksi ini maklumkan kepada Cik Bunga mengenai seorang penyanyi rap ini.
Dia yang pernah naik mendadak ketika masih muda sebenarnya menghilang bukan kerana hilang idea, bukan kerana tak ada tuah atau sebagainya. Tetapi sebenarnya kerana trauma gangguan seksual yang dialaminya ketika baru mula menapak.
Mangsa tidak pernah bersuara secara terbuka. Bukan kerana dia bersalah, tetapi kerana sistem ini membuatkan mangsa percaya bahawa ‘kalau kau buka mulut, karier kau mati’.
Jadi dia pilih diam.Akibatnya, dia juga pilih untuk menjauh dari dunia seni. Cik Bunga percaya, trauma ini kita tidak nampak, tetapi ia memakan hidup seseorang perlahan-lahan terutama dari aspek keyakinan, keberanian, masa depan. Semua itu lesap.
Yang lebih menjengkelkan,lelaki yang sama masih disebut-sebut oleh orang belakang tabir sebagai pemangsa senyap. Bisik-bisik itu berlegar. Tiada tindakan. Tiada siasatan. Tiada akauntabiliti. Seolah-olah, industri memilih selamatkan reputasi, bukan manusia.
Ini bukan kisah ‘salah faham’.Ini kisah bagaimana mentor boleh jadi topeng, dan keluarga industri boleh jadi alasan untuk menutup jenayah.
Cik Bunga dengar, pemangsa juga merupakan orang yang sama yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelakon yang baru-baru ini mendedahkan hal ini kepada umum. Cik Bunga dah tahu namanya, cuma sedang menunggu apakah individu itu berani mengakui aib sendiri.









