Izara Aishah bukan sekadar dikenali sebagai pelakon versatil, malah turut muncul sebagai antara pempengaruh media sosial paling berpengaruh dalam dunia fesyen dan gaya hidup tempatan.
Namun, di sebalik populariti yang semakin kukuh serta sokongan peminat yang tidak pernah putus, pelakon berusia 34 tahun itu mengakui adakala dirinya sering menjadi mangsa salah faham warganet susulan ketegasan yang ditampilkan di media sosial.
Menurut Izara, kebanyakan salah faham tercetus apabila potongan video siaran langsungnya disunting dan disebarkan semula tanpa konteks asal, sekali gus mengubah maksud sebenar interaksi yang berlaku antara dirinya dan pengikut.
“Saya memang jenis yang berterus terang dan tegas. Itu memang cara saya bercakap. Tapi ia bukan bermaksud saya marah, apatah lagi sengaja mahu cari gaduh. Banyak kali apa yang berlaku dalam live itu sebenarnya sekadar gurauan dan hiburan untuk pengikut saya, orang saja salah sangka dengan saya,” katanya.
Tambah Izara, realiti media sosial sering berbeza dengan kehidupan sebenar, namun ramai yang terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan klip-klip pendek yang tular.
“Apabila klip itu dipotong, orang yang tak ikut siaran langsung dari awal tak tahu konteks. Mereka hanya nampak satu bahagian kecil, lepas itu terus buat andaian sendiri. Dari situlah bermulanya salah faham dan cerita-cerita yang bukan-bukan,” jelasnya.
Disebabkan kerap berdepan situasi sedemikian, Izara mengakui dirinya kini lebih berhati-hati dan telah banyak mengurangkan gaya komunikasi spontan yang sebelum ini menjadi identitinya di media sosial.
“Saya dah banyak kurangkan juga bab ini. Saya tak mahu orang salah anggap seolah-olah saya seorang yang suka marah-marah atau suka berperang di media sosial, sedangkan niat saya sebenarnya hanya mahu berbual atau berinteraksi dengan pengikut dan pengguna media sosial lain,” katanya.
Dalam masa sama, Izara menegaskan dia masih membuka ruangan komen bagi tujuan kerja, kolaborasi dan promosi produk.
Namun, bagi perkongsian peribadi, dia memilih untuk menutup ruangan komen demi menjaga privasi dan ketenteraman diri.
“Kalau berkaitan kerja, memang saya buka sebab senang orang hubungi. Tapi kalau hal peribadi, saya lebih selesa tutup. Saya sangat menjaga privasi,” katanya.

Utamakan kualiti, bukan sensasi
Berkongsi tentang perniagaan,memandangkan dirinya juga merupakan seorang usahawan dan pengasas tudung, Izara berkata dia bukan jenis yang mengejar keuntungan jangka pendek atau sensasi semata-mata. Sebaliknya, dia lebih menitikberatkan soal kualiti serta kepuasan pelanggan.
“Saya tak nak bisnes yang nak cepat kaya. Saya nak yang boleh bertahan pada jangka masa panjang. Saya nak pelanggan saya gembira, puas hati dengan apa yang mereka beli. Bagi saya, itu lebih penting daripada jual cepat tapi kualiti tidak dijaga,” katanya.
Mengulas tanggapan bahawa semua produk selebriti pasti laris, Izara menyifatkan pandangan itu tidak semestinya benar kerana setiap individu mempunyai kekuatan tersendiri.
“Setiap selebriti ada kekuatan masing-masing. Ada yang kuat dalam kosmetik, ada yang kuat dalam nyanyian, ada yang kuat dalam fesyen. Saya kebetulan lebih kuat dalam fesyen sebab orang suka tengok dan ikut cara saya berpakaian,” katanya.
Sementara itu, ditanya soal lakonan pula, Izara menegaskan dia tidak pernah meninggalkan dunia seni meskipun jadualnya kini semakin padat dengan komitmen sebagai duta dan muse pelbagai jenama.
“Saya tak pernah berhenti berlakon. Cuma sekarang saya lebih memilih. Saya akan tengok skrip itu sesuai atau tidak dengan prinsip dan keadaan saya sekarang. Saya lebih suka cerita yang dekat dengan realiti, cerita keluarga, cerita biografi. Kalau cerita cinta, saya agak selektif. Tapi kalau skrip itu bagus, saya masih akan pertimbangkan,” katanya.










