Nabila Razali turun sekolah, sebar mesej positif menerusi #BalasBaik - Utusan Malaysia

Nabila Razali turun sekolah, sebar mesej positif menerusi #BalasBaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Penyanyi popular, Nabila Razali meluangkan masa menyantuni warga sekolah dengan membuat kunjungan istimewa ke Sekolah Kebangsaan Taman Jasmine, di sini, sempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan di seluruh negara hari ini.

Kehadiran Nabila sekitar jam 10 pagi disambut meriah oleh pelajar, guru serta kakitangan sekolah, sekali gus menceriakan suasana hari pertama persekolahan yang penuh bermakna.

Pada kunjungan tersebut, Nabila turut mempersembahkan lagu #BalasBaik yang sarat dengan mesej positif berkaitan kebaikan, empati dan saling menghargai dalam kalangan masyarakat.

Menurut Nabila, mesej yang dibawakan menerusi lagu itu diharap mampu menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan nilai murni, sikap saling menghormati serta semangat menyebarkan kebaikan dalam kehidupan seharian.

“Hari pertama sekolah merupakan satu permulaan baharu yang amat penting, terutamanya kepada adik-adik yang sedang membina jati diri dan masa depan mereka.

“Saya berharap lagu #BalasBaik dapat menjadi peringatan bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan, walaupun kecil, mampu memberi kesan besar kepada orang lain,” katanya.

Tambahnya,, sekolah adalah tempat terbaik untuk menyemai nilai empati, toleransi dan kasih sayang sejak usia muda.

“Jika kita dibiasakan untuk membalas sesuatu dengan kebaikan, saya percaya persekitaran sekolah dan masyarakat akan menjadi lebih harmoni. Itulah mesej utama yang ingin saya sampaikan melalui lagu ini,” ujarnya.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Nabila dalam menggunakan platform seni bukan sekadar sebagai hiburan, malah sebagai medium penyampaian mesej positif kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelajar dan guru, sekali gus meninggalkan kenangan manis serta suntikan semangat kepada para pelajar untuk memulakan tahun akademik baharu dengan penuh keyakinan dan nilai kebaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN