Kemunculan Nazrey adalah antara 'wishlist' kami - Iman Tang - Utusan Malaysia

Kemunculan Nazrey adalah antara ‘wishlist’ kami – Iman Tang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Icon Entertainment dan kumpulan nasyid popular, Inteam melahirkan rasa syukur serta teruja dengan persetujuan bekas anggota Raihan, Nazrey Johani untuk tampil sebagai penyanyi undangan dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 1 Februari 2026.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, kemunculan Nazrey merupakan antara ‘wishlist’ utama penganjur memandangkan Inteam pernah mempunyai lagu kolaborasi bersama beliau berjudul Kehidupan, selain mengiktiraf Nazrey sebagai salah seorang ikon penting dalam industri nasyid tanah air.

“Kami sangat berbesar hati dan bersyukur dengan persetujuan Nazrey untuk bersama-sama muncul dalam konsert kali ini. Ini memang antara impian pihak Icon Entertainment dan Inteam sejak awal lagi.

“Nazrey bukan sahaja seorang figura berpengaruh dalam nasyid, malah alunan suara beliau yang ikonik diyakini mampu menghidupkan suasana dan mengembalikan nostalgia kepada para peminat.

“Nazrey tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuannya dan kami sangat berbesar hati dengan jawapan ya yang diberikan,”katanya.

Menurut Iman, pihaknya dapat membayangkan malam konsert tersebut bakal menjadi detik penuh emosi dan kenangan bukan sahaja menerusi rangkaian lagu-lagu popular Inteam, malah melalui sentuhan suara dan mesej nasihat yang sering sinonim dengan Nazrey.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Iman menzahirkan rasa syukur atas persetujuan Nazrey untuk berkongsi pentas dalam konsert bersejarah itu.

“Syukur Alhamdulillah, Nazrey Johani (bekas Raihan) akan sama-sama muncul memberikan alunan suara dan nada nasihat menasihati dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih kelak.

“Icon Entertainment dengan bangganya membawakan Nazrey Johani dalam konsert bertarikh 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Pasti sesuatu yang dinanti-nantikan ramai, terutama buat para peminat Nazrey dan Inteam,” tulisnya.

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih dijangka menjadi antara acara nasyid terbesar awal tahun 2026 dan bakal menghimpunkan ribuan peminat bagi meraikan perjalanan seni Inteam selama dua setengah dekad.

Tiket bagi konsert berkenaan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2u.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN