Kalau tidak bangga kenapa terlibat dari awal? - Nelissa Nizam - Utusan Malaysia

Kalau tidak bangga kenapa terlibat dari awal? – Nelissa Nizam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu pelakon enggan mempromosikan naskhah filem atau drama yang dibintangi bukanlah perkara baharu dalam industri hiburan tempatan. 

Namun, bagi pelakon versatil, Nelissa Nizam, soal promosi bukan sekadar memenuhi tuntutan kontrak, sebaliknya adalah soal tanggungjawab dan semangat berpasukan.

Menurut Nelissa, dalam dunia lakonan, promosi merupakan antara ‘nyawa’ penting kepada sesebuah naskhah. 

Tanpa promosi, karya yang dihasilkan dengan keringat seluruh pasukan produksi seolah-olah tidak mendapat ruang sewajarnya untuk dihargai penonton.

“Bagi saya, seeloknya bantulah menguar-uarkan mengenai hasil kerja kita itu. Kalau kita terlibat dalam sesuatu naskhah, itu adalah hasil kerja kita. Kita patut bangga dengannya dan bantu memperkenalkannya kepada orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Nelissa bagaimanapun tidak menafikan, ada situasi tertentu di mana urusan promosi tidak termasuk dalam terma kontrak pelakon. 

Dalam keadaan itu,menurutnya,  ia kembali kepada persetujuan awal antara kedua-dua pihak.

“Kadang-kadang dalam kontrak memang tak dinyatakan promosi sebagai sebahagian daripada kerja. Kalau dua-dua pihak bersetuju dengan harga tertentu tanpa promosi, maka tak perlulah ada paksaan. 

“Tetapi kalau dalam kontrak sudah jelas pelakon perlu buat promosi, perlu ikut ‘road tour’  dan sebagainya, dan kita sudah tandatangan, maka kita kena tunaikan,” jelasnya.

Tambah Nelissa, orang pelakon tidak seharusnya memilih untuk enggan mempromosikan naskhah hanya kerana perasaan peribadi atau tidak berpuas hati dengan hasil karya tersebut.

“Kalau kita tak bangga dengan naskhah itu, kenapa kita terlibat dari awal? Kenapa kita setuju untuk berlakon? Sepatutnya fikir masak-masak sebelum terima tawaran,” katanya lagi.

Sebagai seorang yang menggelarkan dirinya ‘team player’, Nelissa mengakui dirinya tidak pernah menolak untuk melakukan promosi, walaupun ada kalanya ia tidak termaktub dalam kontrak.

“Saya jenis yang suka buat kerja berpasukan. Ini projek kita, ini pasukan kita. 

“Apa saja yang pasukan perlukan, saya akan cuba bantu. Saya percaya, bila kita keluar promote, kita pun dapat nama, dapat kenal orang, orang pun akan ingat kita. Banyak faedah sebenarnya,” ujarnya.

Nelissa turut menyentuh isu pelakon yang jarang memuat naik kandungan promosi di media sosial, yang sering disalah tafsir sebagai enggan memberi kerjasama.

“Kadang-kadang bukan sebab mereka tak nak. Ada yang terlalu sibuk dengan penggambaran lain, ada yang memang tak aktif di media sosial, ada yang terlupa. 

“Banyak sebab sebenarnya. Jadi, kita tak boleh cepat menghukum,” katanya.

Mengulas soal mempromosikan karya yang kurang mendapat sambutan atau tidak begitu memuaskan, Nelissa berpendapat ia tetap perlu dilakukan kerana ia adalah sebahagian daripada kerja.

“Walaupun hasilnya mungkin biasa-biasa sahaja, kita tetap kena promosikan. Itu tanggungjawab kita. Cuma mungkin caranya tak perlu berlebihan, tapi tetap kena bagi sokongan,” katanya.

Setakat ini, Nelissa bersyukur kerana semua naskhah yang dibintanginya mendapat maklum balas yang memuaskan daripada penonton, sekali gus memudahkan urusan promosi.

“Alhamdulillah, setakat ini hasil kerja saya diterima baik, jadi tak ada isu. Tapi apa pun, saya akan sentiasa pegang prinsip sebagai pemain pasukan.

“Bagi saya, ini bukan tentang saya seorang, ini tentang semua yang terlibat dalam naskhah itu,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN