Kalau pelakon dapat harga ‘premium’ itu rezeki dia - Fasha Sandha - Utusan Malaysia

Kalau pelakon dapat harga ‘premium’ itu rezeki dia – Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu pelakon baharu yang meletakkan bayaran tinggi meskipun belum mempunyai prestasi lakonan yang kukuh terus menjadi bualan sinis di belakang tabir industri hiburan. 

Sebagai pelakon berpengalaman lebih dua dekad, Fasha Sandha tampil memberikan pandangan matang mengenai perkara tersebut, sambil menegaskan bahawa soal bayaran adalah subjektif dan bergantung kepada banyak faktor.

Berikut temu bual Pancaindera bersama Fasha Sandha.

J: Sebagai pelakon berpengalaman, bagaimana Fasha melihat fenomena pelakon baharu yang berani meletakkan bayaran tinggi walaupun masih belum mempunyai pencapaian kukuh?

F: Sebenarnya perkara bayaran ini sangat subjektif. Saya yakin setiap produksi sudah ada sistem atau grade tersendiri untuk menentukan bayaran setiap pelakon. Jadi, terpulang kepada pelakon itu sendiri untuk meletakkan harga yang mereka rasa berbaloi dengan kerja mereka.

Kalau produksi mampu membayar dan bersetuju,mengapa tidak? Setiap pelakon berhak menetapkan harga masing-masing, cuma pada masa sama pihak produksi juga mempunyai bajet dan had tertentu.

J: Adakah bakat dan komitmen menjadi ukuran utama dalam menentukan bayaran seseorang pelakon?

F: Sudah tentu. Ukuran utama ialah bakat dan juga komitmen. Contohnya, jika penggambaran melibatkan kerja luar, outstation atau memerlukan pengorbanan masa dan tenaga yang besar, bayaran itu perlu setimpal.

Selain itu, pencapaian juga memainkan peranan. Kalau seseorang pelakon itu terbukti mampu memberikan lakonan terbaik, malah bertaraf penerima anugerah, itu juga boleh menjadi faktor untuk menetapkan bayaran yang lebih tinggi.

 

J: Ada yang mengatakan pelakon baharu meletakkan ‘demand’ terlalu tinggi. Apa pandangan Fasha?

Pada saya, ia selari dengan peredaran waktu. Kalau kita bandingkan harga pada tahun 2006 dengan sekarang, memang sudah tentu ada perbezaan. Kos hidup meningkat, keperluan juga berubah. Jadi, bayaran juga perlu disesuaikan dengan zaman dan komitmen kerja yang diberikan.

J: Apakah nasihat Fasha kepada pelakon baharu dalam hal ini?

Sejujurnya saya agak susah untuk memberi nasihat kerana saya sendiri rasa belum cukup sempurna. Pada saya, terpulang kepada individu untuk menetapkan harga masing-masing dan menentukan hala tuju sendiri.

Kalau dulu, kami lebih berdikari. Banyak belajar secara langsung di lokasi penggambaran. Sekarang pula, teknologi semakin maju. Pelakon baharu ada pelbagai medium seperti media sosial untuk belajar dan meneroka ilmu lakonan.

Itu kelebihan zaman sekarang. Cuma bezanya, generasi dahulu mungkin lebih ‘independent’ kerana sumber pembelajaran agak terhad ketika itu.

J: Adakah trend bayaran premium ini berisiko kepada industri jika tidak seiring dengan kualiti?

F: Ia tetap bergantung kepada gred. Pihak produksi dan stesen televisyen sudah menetapkan kategori bayaran untuk setiap pelakon. Kalau seseorang pelakon mendapat harga premium, itu rezeki dia dan kita tak boleh menghalangnya.

Penerbit dan pengarah juga ada had maksimum bayaran. Selagi apa yang dilakukan pelakon itu setimpal dengan kerja dan komitmennya, saya rasa tidak salah untuk dia menerima bayaran tersebut.

Setiap orang ada hak untuk menetapkan harga masing-masing. Rezeki itu berbeza-beza. Ada yang masuk industri untuk belajar, ada yang fokus mencari rezeki. Ada juga yang tak kisah dibayar rendah asalkan dapat pengalaman.

Pada saya, kita harus menghormati pilihan dan cara masing-masing. Bayaran ini sangat subjektif dan bergantung kepada individu serta keadaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN