KALAU difikir-fikir, hobi mengumpul kad Pokémon ini sebenarnya sudah popular sejak di zaman kanak-kanak lagi.
Kad itu pula akan dibawa ke sekolah, ala lencana menunjukkan betapa hebatnya dan bertuahnya diri kita kalau memiliki kad yang dianggap berbeza dengan rakan sebaya. Begitulah juga pengalaman masa kecil pelakon, Harris Annuar. Sejak tahun 1999 lagi, sewaktu masih di bangku sekolah rendah, dia sudah pun rajin mengumpul kad berwarna-warni.
Kini siapa sangka, hobi yang dianggap biasa itu rupanya berpotensi menjadi lubuk pelaburan yang serius bukan hanya di Malaysia malah mencetuskan fenomena dunia. Contohnya, di Texas apabila sekeping kad Pokemon dilelong dengan harga RM1.4 juta.
Menceritakan pengalamannya, Harris mula terjebak dalam dunia pengumpulan kad Pokémon sejak kecil lagi walau sempat berhenti seketika daripada hobi tersebut ketika menuntut di darjah tiga
Namun, satu pendedahan yang cukup mengejutkan adalah apabila Harris mengakui pernah memiliki tiga keping kad Charizard iaitu kad menampilkan watak paling ikonik dan diburu dalam dunia Pokémon.
Menurut Harris, sekiranya kad tersebut berada dalam keadaan sempurna dan mendapat gred PSA 10 iaitu gred tertinggi daripada syarikat penilai kualiti (Professional Sports Authenticator), nilainya boleh mencecah sehingga RM1.1 juta sekeping di pasaran antarabangsa hari ini.
“Sampai sekarang saya cari memang tidak jumpa dah kad itu. Saya syak mak saya sudah buang.
“Dulu kita tidak tahu benda ini boleh jadi pelaburan, kita kumpul sekadar suka-suka sahaja,” katanya berseloroh ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Selepas bertahun-tahun meninggalkan dunia kad, Harris kembali aktif sekitar Disember tahun lalu. Segalanya bermula apabila algoritma TikTok memaparkan video-video individu membuka pek kad (unboxing), sekali gus menyuntik kembali rasa rindu untuk memilikinya.
Sejak itu, Harris tidak lagi memandang koleksinya sebagai hobi kosong. Beliau kini mengendalikan perniagaan jual beli kad Pokémon sendiri. Strateginya mudah namun memerlukan kesabaran iaitu kad yang dibeli akan diperam selama sebulan, dan jual semula apabila harga pasaran meningkat.
Bagaimanapun pelakon itu mengunci mulut ketika ditanya berapa nilai kad paling mahal diperoleh dan dijualnya hasil daripada perniagaan. Walaupun nampak mudah, Harris menitipkan pesanan penting buat mereka yang ingin menjadikan kad Pokémon sebagai instrumen pelaburan agar mempunyai ilmu yang cukup.
“Memang betul kumpul kad ini macam pelaburan, tapi kena ada ilmu. Kalau tak ada ilmu, boleh rugi besar. Kalau ada ilmu, baru boleh untung.
“Pastikan hobi datang dulu, baru pelaburan. Kalau pelaburan datang dulu sebelum hobi, nanti kita akan cepat rasa bosan. Kumpul sebab minat, itu yang paling penting,” katanya menutup bicara,” jelasnya yang turut mempunyai ‘sifu’ sendiri untuk memberi tunjuk ajar tentang selok-belok kenaikan harga kad.
Kini, bagi Harris Annuar, setiap pek kad yang dibuka bukan sekadar mencari watak kegemaran, tetapi merupakan langkah strategik dalam dunia pelaburan alternatif yang kian mendapat tempat di hati peminat tegar di seluruh dunia.










