SIKAP segelintir pelakon baharu yang sombong dan tidak pandai bercampur dengan pelakon lain di set penggambaran menjadi antara keluhan yang disuarakan pelakon senior.
Setiap kali ditanyakan pelakon lama mengenai perkara ini, pasti hampir kesemua mereka mengakui kewujudan pelakon generasi z yang berlagak diva.
Pendatang baharu, Erysha Emyra berpandangan perangai negatif seperti itu tidak sepatutnya menjadi sikap pelakon baharu kerana akan mengundang persepsi negatif sehingga menjejaskan hubungan antara pelakon junior dengan senior.
“Bagi saya, kita kena sedar ruang. Tak kisahlah dalam bidang apa sekalipun, kita, sebagai pendatang baharu kena hormat yang lebih senior.
“Saya faham, ada masanya pelakon muda menghabiskan masa dengan telefon masing-masing kerana sibuk membuat kandungan media sosial untuk mempromosikan drama yang mereka lakonkan.
“Tapi, saranan saya, pandanglah kiri dan kanan. Jangan terlalu sibuk dengan telefon masing-masing sehingga kita terlupa yang di set penggambaran itu ada pelakon lain dan kru produksi.
“Jadi luang-luangkanlah masa bercampur dengan mereka supaya kita ini tidak dianggap sombong atau berlagak diva,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Erysha dalam masa yang sama memaklumkan yang dia akan berusaha untuk menegur semua orang di set penggambaran, lebih-lebih pelakon lebih senior.
“Paling tidak pun saya akan bersalaman dan tegur pelakon senior, santuni mereka.
“Ada masanya, kita kena tengok keadaan. Ada pelakon lain yang mungkin perlukan waktu untuk bersendirian. Itu pun kita kena peka.
“Sebab itu saya tengok keadaan. Ya, kita kena tegur dan berborak dengan pelakon lain. Tapi kita juga kena hormat ruang privasi mereka,” ujarnya.
RAMADAN
Anak kepada pelakon Noniswara ini dalam masa yang sama berharap dapat meluang banyak masa untuk memperbaiki ibadah sepanjang bukan Ramadan yang bakal menjelang.
Katanya itu antara keinginan yang pada tahun lalu tidak dapat dilunaskan Ramadan tahun lepas kerana kesibukan kerja di set penggambaran.
“Saya tidaklah menolak rezeki, kalau terima tawaran berlakon pada bulan Ramadan ini saya tetap terima.
“Cuma saya juga harapkan dalam Ramadan kali ini saya dapat luangkan masa beribadah kerana banyak masa kita terleka dengan perkara duniawi sehingga kita terlupa untuk betul-betul fokus kepada perkara itu.
“Jadi Ramadan ini adalah tempoh yang terbaik untuk kita perbaiki amalan berkaitan agama,” ujarnya.
Menurut pelakon drama Rumah Tanpa Luka ini, Ramadan juga adalah masa untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga.
“Setiap kali bulan Ramadan, keluarga saya akan hampir setiap hari berbuka puasa dan solat tarawikh bersama-sama. Malah kami akan jemput ustaz untuk beribadah bersama.
“Saya suka perkara itu. Sebab itulah saya berharap berpeluang untuk menjalani Ramadan kali ini dengan aktiviti-aktiviti ibadah,” kongsinya.










