KUALA LUMPUR: Industri muzik tanah air terus meriah dengan kemunculan sebuah kumpulan baharu yang dijangka mencuri perhatian, Inferno3, terdiri daripada tiga anak gadis berbakat besar dalam bidang tarian dan nyanyian.
Dianggotai Hannis, 15, Hannah, 17, dan Eva, 17, kumpulan ini tampil yakin memperkenalkan single sulung mereka berjudul Money, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka.
Menurut Hannis, peluang berada di bawah naungan Shiha Zikir Empire disyukuri sepenuh hati, apatah lagi apabila single berkenaan turut menampilkan kolaborasi bersama artis berpengalaman, Shiha Zikir.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan rasa bertuah dapat melancarkan single pertama ini. Lebih istimewa apabila dapat menyanyikannya bersama Kak Shiha. Beliau seorang selebriti serba boleh dan sangat kami kagumi,” katanya.
Nada sama disuarakan Hannah yang menganggap Inferno3 cukup bertuah kerana menerima tunjuk ajar daripada artis senior yang sudah lama bertapak dalam industri.
“Kak Shiha banyak berkongsi pengalaman dan ilmu. Itu satu kelebihan besar buat kami yang masih hijau,” ujarnya.
Eva pula mengakui berasa teruja namun dalam masa sama gementar kerana bukan sahaja menyanyi, malah menari bersama Shiha dalam video muzik Money.
“Ia satu penghargaan besar. Harapan saya agar peluang ini menjadi permulaan untuk kami melangkah lebih jauh dan meneroka lebih banyak ruang dalam industri seni,” katanya.
Single Money merupakan hasil kolaborasi Shiha Zikir Empire bersama Sony Music Entertainment Malaysia dan mengangkat tema realiti kehidupan moden yang menuntut keperluan kewangan tanpa mengira usia.
Ketiga-tiga anggota Inferno3 sepakat menyifatkan proses latihan bersama Shiha sebagai pengalaman berharga.
“Kami asalnya lebih fokus kepada tarian. Nyanyian adalah perkara baharu, namun setiap sesi latihan hingga rakaman penuh keistimewaan. Kak Shiha tegas tetapi sangat teliti, terutama dalam memastikan konsep dan ‘vibe’ lagu ini tepat,” kata Eva.
Berkongsi pengalaman penggambaran video muzik, Hannis menyifatkan ia sebagai mencabar namun menyeronokkan apabila dilakukan di sebuah bangunan terbiar dengan aspek keselamatan diberi keutamaan.
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada koreografer Ezra Tham yang membantu mereka menguasai tarian dalam tempoh singkat sebelum penggambaran bermula.
Sementara itu, Shiha melihat Inferno3 sebagai pendatang baharu berpotensi besar, memandangkan usia mereka yang masih muda serta latar belakang kukuh dalam tarian.
“Bukan mudah untuk ada kumpulan yang boleh menari dengan baik dan pada masa sama menyanyi. Kami ambil masa beberapa tahun sebelum melancarkan single ini kerana mahu mereka benar-benar bersedia,” katanya.
Menurut Shiha, fokus utama pengurusan bukan untuk bersaing dengan kumpulan lain, sebaliknya membentuk pengaruh positif dalam kalangan remaja, terutama dari segi keseimbangan antara akademik dan minat seni.
“Mereka bijak membahagi masa. Itu contoh baik kepada remaja lain supaya tidak mengabaikan pelajaran walaupun mengejar cita-cita,” jelasnya.
Mengulas mengenai lagu Money, Shiha mendedahkan karya tersebut pada asalnya dirakam untuk dirinya sendiri sebelum dihadiahkan kepada Inferno3 selepas melihat kesesuaian konsep dan potensi kumpulan itu.
Single Money telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 9 Januari 2026, manakala video muziknya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Shiha Zikir Empire.
Shiha turut berharap agar peminat muzik tempatan terus memberi sokongan kepada muzik M-Pop seiring perkembangan industri hiburan negara.










