Industri muzik terus berkembang, raih RM428.3 juta pada 2025 - Utusan Malaysia

Industri muzik terus berkembang, raih RM428.3 juta pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri muzik Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang tahun 2025 apabila merekodkan pertumbuhan berterusan hasil penggunaan muzik digital yang kukuh serta peningkatan kutipan royalti persembahan awam.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memaklumkan, jumlah keseluruhan pendapatan industri muzik tempatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 mencecah RM428.3 juta berbanding RM352.4 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 17.7 peratus dan merupakan paras tertinggi pernah dicapai industri tersebut.

Presiden Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim dalam satu kenyataan berkata, pendapatan daripada perkhidmatan penstriman muzik digital kekal sebagai penyumbang utama, diikuti peningkatan kutipan oleh Pertubuhan Pengurusan Kolektif (CMO), mencerminkan penggunaan muzik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia merentasi pelbagai genre dan bahasa.

Sepanjang tahun lalu, platform penstriman muzik dan media sosial terus menjadi pemacu utama penemuan serta penggunaan muzik.

Berdasarkan Carta RIM, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari muncul sebagai lagu domestik paling tinggi distrim, manakala Die With A Smile nyanyian Lady Gaga dan Bruno Mars mendominasi kategori antarabangsa.

Bagi kategori bahasa Cina, laguJumping Machine nyanyian LBI mencatat jumlah penstriman tertinggi.

Kumpulan Insomniacks dinobatkan sebagai artis domestik paling tinggi distrim, manakala Taylor Swift dan LBI masing-masing mendahului kategori artis antarabangsa dan Cina.

RIM turut menyorot kejayaan artis tempatan yang semakin menyerlah di peringkat serantau dan antarabangsa melalui kerjasama strategik rentas sempadan. Penyanyi Ernie Zakri, misalnya, mencipta impak besar menerusi lagu Masing-Masing, hasil kolaborasi bersama Ade Govinda dari Indonesia, yang turut memenangi anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Kumpulan Dolla pula mencuri perhatian menerusi kerjasama bersama artis hip-hop Thailand, Tobii, menerusi lagu Bad Girls Like You. Kolaborasi lain yang turut mendapat sambutan termasuk gandingan Aina Abdul bersama Fabio Asher serta Insomniacks dengan Nabila Taqiyyah.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi JessC (Jessie Chung) mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah Best Asian Pop pada InterContinental Music Awards 2025 di Los Angeles menerusi lagu Mandarin My Style.

Peningkatan sokongan kerajaan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah Kementerian Komunikasi turut membantu memperkukuh ekosistem industri muzik tempatan.

Seramai 11 pemenang AIM24 menerima peruntukan berjumlah RM700,000 yang disalurkan menerusi MyCreative Ventures.

Pada masa sama, RIM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup terus mempergiat penguatkuasaan terhadap pelanggaran hak cipta melibatkan premis hiburan, platform e-dagang serta laman web haram, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan industri.

RIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI) khususnya penggunaan muzik berhak cipta tanpa kebenaran dalam latihan model AI.

Antara pembaharuan undang-undang yang dicadangkan termasuk keperluan mendapatkan kebenaran pemegang hak, ketelusan data latihan AI, pelabelan kandungan jana-AI serta penolakan perlindungan hak cipta bagi muzik yang dijana sepenuhnya oleh AI.

Selain itu, RIM menegaskan keperluan memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dan karya muzik daripada 50 tahun kepada 70 tahun selaras dengan piawaian antarabangsa.

Mengulas prospek industri, Rosmin berkata, industri muzik Malaysia berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang.

“Dengan peningkatan penggunaan muzik digital, kerjasama awam-swasta yang lebih erat serta rangka kerja kawal selia yang jelas khususnya berkaitan AI, industri ini berpotensi memperkukuh sumbangannya kepada ekonomi negara dan memperluaskan jejak antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN