Enggan bercakap melalui orang tengah seperti bibik - Datuk Red

Enggan bercakap melalui orang tengah seperti bibik – Datuk Red

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usahawan, Datuk Seri Adnan Abu mendedahkan berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan bekas isterinya, penyanyi Adira, khususnya membabitkan urusan berkaitan anak-anak mereka.

Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, dia terpaksa menggunakan orang tengah selepas mendakwa nombor telefonnya telah disekat oleh Adira susulan kemelut yang berlaku antara mereka.

Menurutnya, setakat ini komunikasi hanya dapat dilakukan menerusi adik-beradik atau pembantu rumah penyanyi berkenaan.

“Itulah masalah saya sekarang untuk berkomunikasi mengenai anak-anak. Kalau boleh, saya mahu berhubung terus dengan Adira kerana dia ibu kepada anak-anak kami.

“Saya tidak mahu bercakap melalui orang tengah seperti bibik (pembantu rumah).  Itu sahaja permintaan saya.

“Jangan risau, saya tiada niat lain, cuma mahu berbincang soal anak sahaja,” katanya.

Adnan berkongsi perkara tersebut selepas prosiding lafaz rujuk yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, hari ini.

Dalam pada itu, Adnan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk disebabkan Adira dikatakan sudah mempunyai teman lelaki.

“Dia ada kekasih atau tidak, saya pun tidak tahu. Saya tidak tahu apa-apa kerana sebelum ini netizen menuduh saya pula yang ada kekasih. Hakikatnya, tiada,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan pertama bagi permohonan pengesahan lafaz rujuk pasangan tersebut.

Peguam yang mewakili Adnan, Nor Haiza Marina Mat Ramli memaklumkan perbicaraan itu akan dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri plaintif serta defendan.

Pada Disember lalu, Adnan menerusi peguamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap Adira, namun penyanyi itu mengakui terkejut kerana tidak mengetahui tindakan yang diambil oleh bekas suaminya.

Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua, namun perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN