Diberi kesempatan bermain dengan anak, terima kasih Uqasha - Kamal Adli - Utusan Malaysia

Diberi kesempatan bermain dengan anak, terima kasih Uqasha – Kamal Adli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berpeluang bertemu anak perempuannya, Hawra Uqaira, selepas lebih dua minggu tidak berjumpa.

Menurut Kamal, meskipun pertemuan itu hanya berlangsung beberapa jam, ia sudah cukup bermakna dan mengubat kerinduannya sebagai seorang bapa.

“Hari ini sebelum datang ke sini (pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026), saya sempat berjumpa dengan Hawra. Sebab itu saya lambat sedikit kerana meluangkan masa bermain dengannya.

“Rasa sangat seronok selepas beberapa minggu tidak berjumpa,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kamal turut menzahirkan penghargaan kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose, yang memberi ruang dan peluang kepadanya untuk meluangkan masa bersama anak mereka.

“Apabila dapat berjumpa dengan Hawra hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana memberi peluang kepada saya untuk bersama anak.

“Hari ini saya memang gembira. Saya dapat luangkan masa dari pukul 2 petang hingga 5.30 petang,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamal berkata pertemuan itu hanya diadakan di kawasan bawah kediaman Uqasha memandangkan keadaan kesihatan Hawra yang kurang sihat dan dipercayai menunjukkan tanda-tanda awal cacar air.

“Saya bermain di bawah sahaja. Saya tengok dia seperti hendak kena ‘chicken pox’, jadi saya hanya bermain dengannya di kawasan bawah rumah dan tidak ke taman permainan,” ujarnya.

Kamal berkata, buat masa ini, setiap kesempatan masa terluang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu anaknya, meskipun jadual kerjanya padat.

“Setiap kali saya ada masa lapang, saya akan cuba berjumpa dengannya. Hari ini kebetulan saya baru tiba dari Kuantan, jadi saya terus pergi jumpa Hawra dahulu,” katanya.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan hubungan dengan anak terus terjalin erat walau dalam apa jua keadaan.

“Setiap kali saya turun ke Kuala Lumpur, saya akan jumpa anak dahulu sebelum bergerak semula ke lokasi penggambaran di Lumut,” katanya.

Dalam masa sama, Kamal turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa memberikan sokongan serta kata-kata semangat kepadanya, khususnya di media sosial.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang mendoakan dan memberikan kata-kata semangat supaya saya terus kuat,” katanya.

Terdahulu, Kamal pernah berkongsi rasa rindu terhadap Hawra menerusi media sosial selepas lama tidak berjumpa anaknya itu.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN