Cinta tidak perlukan kata ‘selamanya’, cukup sekadar ‘mungkin - Utusan Malaysia

Cinta tidak perlukan kata ‘selamanya’, cukup sekadar ‘mungkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA semakin lama, terasa semakin menggoda juga melihat betapa kreatifnya gaya bercerita yang cuba dipersembahkan gandingan penulis skrip prolifik Korea Selatan, Hong Jeong-eun dan Hong Mi-ran.

Selepas Alchemy of Souls, Hotel del Luna dan My Girlfriend is a Gumiho (sekadar menyebut beberapa), adik-beradik Hong tampil dengan Can This Love Be Translated? (CTLBT) yang menjadi antara siri yang paling banyak dipercakapkan di media sosial, mendaki tangga naskhah paling banyak ditonton sejak ditayangkan walaupun mungkin tidaklah sekepoh Crash Landing on You atau Queen of Tears.

CTLBT mempunyai premis menarik, bagaimana seorang pelakon yang popular dalam sekelip mata, Cha Mu-hee lakonan Youn-jung jatuh hati kepada seorang penterjemah yang fasih banyak bahasa, Joo Ho-jin lakonan Seon Ho.

Sebelum segala konflik dan cerita ini bergerak lebih dalam, CTLBT di awal episod sudah sedikit cuba mengajak kita merenung bagaimana jika dua orang yang saling tidak saling kenal bertemu di satu tempat asing.

Memetik ayat daripada drama ini, ia adalah sebuah ikatan yang memberi kesan jauh lebih besar.

Begitulah permulaan pertemuan Ho-jin dan Mu-hee ketika di Jepun. Tidak kenal, tapi berada di satu titik kesempatan yang sama. Lebih menarik, walaupun masing-masing pada awalnya tidak tahu apa yang membuatkan masing-masing berada di Jepun ketika itu, tapi sebagai penonton kita tahu, mereka berdua sedang di fasa melepaskan sesuatu.

Namun mereka berpisah, membawa laluan masing-masing di seberang jalan. Saya berpendapat, naskhah romantik harus mempunyai itu, iaitu sebuah pertemuan yang mengesankan dan meninggalkan sesuatu.

Pertemuan adalah detik paling mustahak dalam sebuah cerita cinta dan CTLBT menurut saya berjaya membangunkan itu.

CTLBT kemudian perlahan-lahan membawa penonton kepada sebuah konflik lebih rencam dengan kehadiran Do Ra Mi, iaitu karakter zombi yang memberikan tuah populariti kepada Mu-hee, rupanya malang yang sama apabila turut menjentik trauma masa silam.

Mu-hee terkejut, namun akhirnya pasrah apabila dapat melihat Do Ra Mi mengekorinya di mana-mana setiap kali dia berasa takut dan tidak selamat. Dari sebuah delusi, ia kemudian mula memasuki jasad menjadikannya mempunyai split personality.

Saya melihat, CTLBT tidaklah berniat untuk pergi terlalu dalam dan serius terutama berkaitan perbahasan tentang Gangguan Identiti Disosiatif (DID) seperti yang dipersembahkan Kill Me, Heal Me (2015).

Oleh sebab saya menanggalkan lensa itu, saya cenderung menonton CTLBT dengan pemahaman bahawa ‘split personality’ dalam naskhah ini sebagai respons trauma karakter utama dan alat penting untuk menggerakkan kisah cinta antara mereka berdua.

Jadi, persoalan adakah pelakon terkenal seperti Mu-hee tidak ada doktor peribadi dan tidak pergi terapi secara konsisten dan sebagainya, itu saya tolak tepi.

Drama 12 episod ini sebenarnya mahu menunjukkan kepada kita dalam urusan cinta, ia tidak semudah itu untuk ditafsirkan, diungkap dan juga difahamkan. Keadaan akan menjadi sangat kompleks terutama mencintai seseorang yang mempunyai gangguan mental tapi bukan bermakna mereka tidak boleh atau tidak layak dicintai. Mereka perlu mencari bahasa apa yang paling diperlukan untuk mencintai mereka yang sedikit kompleks ini.

Dalam perbahasan jurnal kajian MacIntosh & Johnson (2008), mereka membawa kes Lisa yang diagnos DID dan pasangannya Don.

Don, ketika fasanya memahami dan mencari bahasa mana yang perlu agar dirinya dapat mencintai Lisa akhirnya faham bahawa alter Lisa adalah bentuk perlindungan dirinya daripada segala kejadian trauma yang mencengkam di masa lalu. Don harus memberi ruang agar Lisa stabil terlebih dahulu dan paling penting, meyakinkan bahawa perhubungan mereka penuh dengan rasa selamat.

Saya tidak pasti adakah CTLBT ini ada merujuk kepada kajian MacIntosh & Johnson (2008), tapi tiga episod terakhir dalam naskhah ini menunjukkan Ho-jin berjaya menemukan bahasa untuk mencintai Mu-hee sama seperti Don dalam kajian tadi.

Dengan bantuan Do Ra Mi yang akhirnya membantu meluahkan rasa yang cinta yang disembunyikan Mu-hee selama ini, Ho-jin akhirnya memberi kepastian bahawa tolak tepi fikiran adakah hubungan ini akan bertahan dan bahagia selamanya.

Perkataan selamanya kadang kedengaran begitu kuat hingga tidak mampu ditanggung oleh seorang Mu-hee yang melihat ibu bapanya saling meracun diri masing-masing di depan mata.

Ho-jin mengajak Mu-hee berjalan dalam segala kemungkinan dalam cinta. Tidak perlu fikir sampai ke hujung dan berasa terbeban sebaliknya jalani sahaja dulu rasa cinta ini, percaya akan saling menggenggam, walau entah bagaimana hujungnya destinasi yang akan dilalui.

Ia seolah membawa kita pulang kepada refleksi awal drama ini, dalam dunia yang begitu asing ini. Apa lagi yang lebih hebat selain bertemu seseorang asing dengan segala tingkah dan sikapnya, namun akhirnya setuju untuk saling ada dan menjaga. Itu sudah cukup untuk menterjemahkan sebuah cinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN