DENGAN jadual kerja semakin padat dan tekanan seharian yang dihadapi, bukan mudah untuk para selebriti Hollywood ini mempertahankan hubungan cinta mereka. Sebaik sahaja hubungan istimewa mereka diketahui umum, mereka perlu bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan sama ada direstui orang ramai, ataupun dicemuh kerana dianggap tidak sepadan.
Bagaimanapun, beberapa pasangan berjaya menunjukkan hubungan mereka kekal kuat bertahan mengharungi siri gosip, kritikan dan apa sahaja badai rumah tangga yang melanda. Berikut adalah pasangan yang dikagumi di Hollywood dan dianggap idola buat para selebriti untuk terus mempertahankan perhubungan.

Ryan Reynolds, Blake Lively
Ryan dan Blake antara pasangan yang sering disangka terlalu mustahil untuk terjadi, Personaliti mereka yang ceria, romantik dan penuh humor membuatkan ramai beranggapan hubungan ini sekadar imej media. Semasa bercinta dulu, Ryan sanggup mencari rumah berdekatan Blake yang ketika itu membuat penggambaran Gossip Girl di New York.
Kemudian, mereka memilih untuk hidup jauh dari drama. Mereka jarang berkongsi hal peribadi secara serius, sebaliknya menggunakan humor sebagai cara melindungi privasi. Lebih sedekad berkahwin dan memiliki keluarga bahagia, pasangan ini bukti bahawa persahabatan adalah asas cinta yang kukuh.

Dax Shepard, Kristen Bell
Pasangan ini dilihat terbuka bercakap tentang masalah rumah tangga, termasuk isu kesihatan mental ketika diundang menghadiri rancangan audiosiar. Kejujuran mereka membuatkan ramai yang tertanya-tanya adakah status hubungan rumah tangga mereka betul-betul kukuh.
Bagaimanapun, Dax dan Kristen menunjukkan bagaimana komunikasi dan sokongan emosi menyelamatkan siri rumah tangga mereka yang rapuh. Perkahwinan bukan tentang menyembunyikan masalah, tetapi berani menghadapinya bersama.

Emily Blunt, John Krasinski
Pasangan ini pernah diragui kerana kedua-duanya berada di puncak kerjaya dan sering terlibat dalam projek besar. Ramai meramal kesibukan bakal merenggangkan hubungan mereka.
Namun, Emily dan John sentiasa menyokong kerjaya satu sama lain. Mereka bukan sahaja bahagia sebagai pasangan, malah berjaya bekerjasama dalam dunia profesional. Hubungan mereka tenang, matang dan bebas kontroversi.

Sarah Jessica Parker, Matthew Broderick
Dalam dunia hiburan yang gemar sensasi, pasangan ini dianggap terlalu ‘diam’ dan tidak menunjukkan kemesraan di media sosial sukar untuk bertahan lama. Tiada drama besar, tiada pendedahan emosi berlebihan.
Hakikatnya, mereka sudah berkahwin lebih dua dekad dan memilih kehidupan yang sederhana. Mereka jarang terlibat gosip dan lebih fokus pada keluarga. Kadang-kadang, hubungan yang tidak menjadi tajuk utama itulah yang paling stabil.

Justin Bieber, Hailey Bieber
Hubungan Justin dan Hailey antara yang paling banyak diragui. Perkahwinan mereka yang berlaku pada usia muda, sejarah cinta silam Justin, serta tekanan populariti membuatkan ramai yakin hubungan ini tidak akan bertahan.
Namun, Hailey menjadi sokongan besar dalam kehidupan Justin, terutamanya ketika penyanyi itu berdepan isu kesihatan mental dan tekanan emosi. Mereka berdua kerap menekankan pentingnya kepercayaan, keimanan dan komunikasi dalam perkahwinan.
Walaupun sering dikritik dan dibandingkan dengan masa lalu, Justin dan Hailey memilih untuk fokus pada hubungan mereka sendiri. Hari ini, mereka masih bersama dan semakin matang sebagai pasangan.










