PETALING JAYA: “Saya hargai saja yang mahu berkawan dengan saya. Tetapi sekarang mahu fikir diri sendiri dahulu.”
Demikian respons pelakon, Aprena Manrose yang memaklumkan dirinya belum terbuka hati untuk kembali menjalinkan hubungan cinta selepas beberapa bulan bercerai.
Tenang menjawab soalan salah seorang pengikut di Instagram Story, Aprena berkata dirinya mahu menggunakan peluang yang dimilikinya kini untuk memperbaiki diri dan menjadi versi yang lebih baik.
“Sudah 14 tahun dalam perhubungan, apa salahnya untuk saya menjadi versi terbaik diri sendiri pula. Banyak perlu perbaiki diri sebelum ada dalam perhubungan baharu,” katanya ketika ditanya bila mahu mempunyai teman lelaki.
Dalam pada itu, Aprena turut mengakui dirinya sukar untuk menjaga keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya jika terjerumus kembali dalam fasa percintaan.
“Teman lelaki adalah gangguan paling besar bagi saya. Tak pandai nak seimbangkan, takut bercinta saja nanti.
“Jadi sebelum itu kita cari rezeki dengan buat bisnes sendiri. Tak dinafikan, bukan mudah untuk hidup sendiri.
“Tetapi selagi mencari rezeki yang halal, kita lalui saja. Saya harap kalian boleh sokonglah tau,” ujarnya.
Pada Jun lalu, Aprena mengesahkan perkahwinannya bersama bekas suami, Mohd. Afiq Hazman yang terbina sejak 12 November 2016 telah pun berakhir dengan perceraian.
Aprena bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci punca dan tarikh sah perceraian itu berlaku.










