Belum fikir soal anak, kami masih ‘honeymoon’ - Sufian Suhaimi - Utusan Malaysia

Belum fikir soal anak, kami masih ‘honeymoon’ – Sufian Suhaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi menyifatkan tahun 2025 sebagai tempoh paling bermakna sepanjang hidupnya apabila bergelar suami kepada isterinya, Rania Al Sadat, sekali gus membawa perubahan besar dalam kehidupan peribadi dan kekeluargaan.

Menurut Sufian, 2025 bukan sekadar mencatat pelbagai kejayaan dalam kerjaya seni, malah turut sarat dengan episod manis, pahit dan penuh pengajaran yang membentuk dirinya hari ini.

“Sepanjang 2025 memang banyak perkara berlaku, termasuk dalam keluarga. Ada cerita sedih, ada suka dan ada duka.

“Namun secara keseluruhannya, saya melihat 2025 sebagai tahun yang sangat bermakna dan indah. Saya bersyukur dengan segala yang Allah kurniakan,” katanya.

Mengulas perancangan tahun 2026, penyanyi yang mula mencipta nama sejak 2016 itu mengakui berasa teruja dengan pelbagai agenda yang telah disusun, termasuk pelancaran album sulung bersempena genap sedekad penglibatannya dalam industri seni.

“Tahun 2026 saya harapkan sesuatu yang lebih baik. Banyak perkara baharu yang bakal menjadi pengalaman pertama buat saya, jadi ia penuh misteri dan sangat mengujakan.

“Hampir semua azam tahun 2025 telah tercapai dan Alhamdulillah, saya amat bersyukur. Tahun 2026 pula agak mendebarkan kerana genap 10 tahun saya berada dalam industri. Sebagai hadiah buat peminat, album sulung sedang dalam proses pembikinan,” katanya.

Tambah Sufian, selain bidang seni, beliau juga merancang untuk memperluaskan perniagaan serta memberi tumpuan kepada kehidupan keluarga.

Ditanya mengenai perancangan menimang cahaya mata, Sufian menjelaskan beliau dan isteri tidak menolak perkara tersebut, namun memilih untuk menikmati fasa awal perkahwinan terlebih dahulu.

“Bukan tidak merancang, tetapi buat masa ini kami mahu menikmati masa berdua dahulu, melancong dan manfaatkan tempoh ‘honeymoon’.

“Jika dikurniakan rezeki cahaya mata, kami terima dengan hati terbuka. Jika belum, kami nikmati dahulu fasa berdua ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Sufian dan Rania selamat disatukan sebagai suami isteri pada 2 Mei tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN