Bangkit kembali, Mamat hadiahkan Mekar Showcase Februari ini - Utusan Malaysia

Bangkit kembali, Mamat hadiahkan Mekar Showcase Februari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas sekian lama melalui fasa yang mencabar dalam perjalanan seninya, penyanyi Mamat kembali tampil dengan sebuah showcase berskala kecil yang sarat dengan elemen nostalgia dan emosi.

Dikenali sebagai suara ikonik kumpulan Exists, kemunculan ini bukan sekadar usaha mengubat rindu peminat, sebaliknya mencerminkan langkah terancang untuk membina semula hubungan antara artis dan khalayaknya dalam suasana yang lebih dekat serta terkawal.

Menerusi penganjuran Mamat Mekar Showcase, peminat diberi peluang untuk kembali menghayati lagu-lagu malar segar yang pernah menjadi latar kisah hidup, cinta dan kehilangan.

Acara ini tidak ditampilkan sebagai konsert berskala besar, sebaliknya sebuah pertemuan yang lebih intim, membolehkan interaksi antara penyanyi dan peminat berlaku dengan lebih mesra dan bermakna.

Showcase eksklusif itu dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026 di IDEAS Kuala Lumpur Hotel, Jalan Raja Laut, dengan kapasiti terhad kepada hanya 200 penonton.

Menurut Mamat, keputusan mengehadkan jumlah penonton dibuat secara sedar dan strategik bagi membentuk pengalaman yang lebih fokus dan berkesan. Dalam ruang yang kecil, suasana menjadi lebih rapat, sekali gus memberi ruang kepada peminat untuk benar-benar menghayati setiap persembahan tanpa gangguan seperti yang lazim berlaku dalam acara berskala besar.

“Saya melihat ini sebagai peluang keemasan untuk mendekati dan berinteraksi lebih mesra dengan para peminat serta media,” katanya.

Mengulas mengenai skala kecil showcase tersebut, Mamat mengakui mungkin timbul persoalan mengapa ia tidak dianjurkan dalam kapasiti yang lebih besar.

Namun, jelasnya, pendekatan itu merupakan perancangan awal untuk mengeratkan kembali hubungan dengan peminat, selain membina semula keyakinan serta momentum dalam kerjaya seninya.

“Walaupun showcase ini terhad kepada 200 penonton sahaja, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa hanya 200, bukan 1,000 atau 2,000. Ini adalah perancangan awal kami untuk mengeratkan hubungan dengan anda semua,” katanya.

 

Antara keistimewaan Mamat Mekar Showcase ialah konsep persembahan unplugged yang ditampilkan. Konsep ini memberi penekanan kepada kekuatan vokal dan emosi, tanpa bergantung sepenuhnya kepada susunan muzik yang besar.

Menariknya, showcase ini turut menggabungkan elemen menikmati hidangan, menjadikan acara tersebut sebagai satu pengalaman menyeluruh, bukan sekadar tontonan persembahan muzik.

“Mana-mana peminat tegar memang tahu, semuanya lagu hits. Secara unplugged dan santai sambil makan. Disebabkan ada sesi makan, kalau main lagu terlalu rancak, takut lain pula jadinya,” katanya berseloroh.

Dari segi persembahan, sekitar lapan hingga 10 lagu dijangka dipersembahkan, merangkumi karya Mamat bersama Exists serta lagu-lagu daripada tiga album solo beliau. Antara judul yang bakal diperdengarkan termasuk Langkah Semakin Ringan, Janji Padamu, Nota Di Lautan Sepi, Janji Bidadari, Untukmu Ibu dan Salju Di Danau Rindu.

Pemilihan lagu-lagu tersebut dilihat mampu merapatkan jurang generasi peminat, sama ada yang mengikuti Mamat sejak era Exists, fasa solo mahupun mereka yang sekadar ingin mengimbau nostalgia ketika lagu-lagu ini pernah menjadi siulan ramai. Lagu seperti Rahsia Pohon Cemara pula sering dianggap simbol kepada karakter vokal dan identiti seni Mamat.

Dalam masa sama, Mamat mengakui showcase ini merupakan satu permulaan baharu dalam kerjaya seninya, seiring dengan proses pemulihan yang sedang dilaluinya ketika ini.

“Saya masih dalam proses pemulihan, jadi dari segi suara dan penyampaian, ini satu permulaan baharu. Maknanya ‘the new me’. Ini Mamat yang baharu,” katanya.

Kerjaya solo Mamat kini diuruskan oleh Mekar Management, sebuah entiti yang ditubuhkan khusus oleh peguam, Azlina Abdul Aziz. Menurut Mamat, pengurusan yang tersusun dan berstrategi menjadi antara faktor penting dalam membina semula kestabilan serta hala tuju kerjayanya.

“Di bawah pengurusan Mekar Management, saya mula bergerak untuk meneruskan apa yang sepatutnya saya lakukan. Walaupun showcase ini berskala kecil, saya berharap ia membawa makna yang besar,” ujarnya.

Pihak pengurusan turut merancang penganjuran sidang media bagi memaklumkan kepada industri dan peminat bahawa langkah ini merupakan titik perubahan serta permulaan baharu dalam perjalanan seni Mamat, bukan sekadar projek sementara atau sensasi sesaat.

Untuk rekod, Mamat mula dikenali sebagai vokalis asal kumpulan Exists sejak 1991 sebelum membawa haluan solo pada 1994. Beliau kini dilaporkan sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan di bawah Persatuan Pengasih Malaysia di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang. Latar belakang ini menjadikan Mamat Mekar Showcase bukan sekadar sebuah kemunculan semula, sebaliknya simbol usaha berperingkat yang hadir bersama kesedaran, tanggungjawab dan harapan baharu dalam perjalanan seninya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN