Artis dedah aib sendiri tidak berpuasa - Utusan Malaysia

Artis dedah aib sendiri tidak berpuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau dulu-dulu, artis berlumba-lumba hendak tunjuk imej alim, bertudung litup, ayat manis penuh nasihat, sekarang lain pula ceritanya.

Terbaharu, Cik Bunga terdengar satu pengakuan daripada seorang pelakon wanita terkenal yang secara terbuka mengakui bahawa dirinya tidak berpuasa ketika menjalani penggambaran sebuah filem, walaupun ketika itu bulan Ramadan. Cerita tahun lepaslah ini.

Alasannya pula cukup ringkas, katanya, “puasa boleh ganti kemudian.”

Aduhai, Cik Bunga terkedu seketika mendengar kenyataan itu. Bukan kerana hukum tak boleh dibincangkan, tetapi kerana cara ia diluahkan seolah-olah puasa itu perkara kecil, boleh ditinggalkan tanpa rasa bersalah, tanpa keperluan darurat yang benar-benar mendesak.

Lebih menghairankan, pengakuan itu dibuat secara santai, seakan-akan satu perkara biasa yang tidak perlu ditapis sebelum sampai ke telinga umum.

Benar, Islam tidak kejam. Islam memberi kelonggaran kepada mereka yang sakit, musafir atau dalam keadaan yang benar-benar memudaratkan.

Tetapi menjalani penggambaran filem, walau sesibuk mana pun jadualnya, walau sepanas mana lampu set penggambaran, adakah ia benar-benar sampai ke tahap darurat yang mengharuskan puasa ditinggalkan begitu sahaja? Di sinilah timbul persoalan yang membuatkan ramai menggeleng kepala.

Apa yang lebih merunsingkan Cik Bunga, pengakuan sebegini datang daripada seorang figura awam, yang setiap gerak-geri dan kata-katanya mudah dijadikan contoh.

Bila seorang pelakon dengan pengaruh besar berkata, puasa boleh ditinggalkan dan diganti sesuka hati, mesej apakah yang sampai kepada peminat muda di luar sana?

Cik Bunga tidak berniat untuk menghukum, jauh sekali menutup pintu taubat sesiapa. Tetapi asbab kepada tindakan itu langsung tidak wajar untuk dinormalisasikan, apatah lagi dijaja dalam temu bual seolah-olah ia satu pencapaian kejujuran.

Ada perkara yang boleh disimpan, ada hal yang lebih manis jika disampaikan dengan penuh hikmah, bukan secara lepas cakap tanpa memikirkan implikasinya.

Akhir kata, Cik Bunga cuma berharap agar selebriti, lebih-lebih lagi yang sering menjadi perhatian, lebih berhati-hati dalam berkata-kata, kerana bukan semua kebenaran perlu dicanang tanpa timbang rasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN