KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi popular, Diana Danielle, mendedahkan dirinya pernah terpalit dengan isu kenaikan berat badan yang menjadi bualan ramai netizen sejak kebelakangan ini.
Menurut Diana, sepanjang hampir dua tahun lalu, dirinya menerima pelbagai tanggapan dan label daripada orang ramai, termasuk dakwaan kononnya dia hamil, kurang relevan dalam industri, malah ada yang mendakwa dirinya berada dalam keadaan tertekan.
“Macam-macam orang cakap. Ada yang kata saya mengandung, ada yang kata saya dah kurang relevan. Tapi ada juga yang suka sebab katanya tak pernah tengok saya ‘chubby’ sebelum ini,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Bagaimanapun, Diana menegaskan bahawa dia tidak memilih jalan pintas bagi menurunkan berat badan walaupun menerima pelbagai cadangan termasuk penggunaan ubat dan pembedahan bariatrik.
“Ramai cadangkan Ozempic, ada doktor tawarkan bariatrik, tetapi saya tolak. Sebagai seorang ‘certified diva’, saya tidak mahu ambil jalan pintas.
“Saya tahu ini isu gaya hidup. Saya memang suka makan dan tidak gemar bersenam. Kalau tak ubah tabiat, hasilnya tetap sama,” ujarnya.
Diana turut mengakui kenaikan berat badannya bukan satu misteri, sebaliknya berpunca daripada tabiat pemakanan yang kurang terkawal.
“Beberapa tahun lalu saya ambil pembantu rumah yang masak terlalu sedap. Bila makan sedap setiap hari, memang padahnya berat naik,” katanya.
Namun, pelakon filem Imaginur itu kini mula memberi tumpuan kepada usaha menurunkan berat badan berikutan tuntutan sebuah naskhah filem baharu yang bakal dibintanginya.
“Saya akur sebab ada filem baharu yang memerlukan saya kurus. Ini soal tanggungjawab. Lagipun, bila badan berat, lutut pun mula sakit,” katanya.
Dalam masa sama, Diana menegaskan setiap individu berhak membuat pilihan sendiri berhubung tubuh badan masing-masing.
“Your body, your choice. Jangan pula ada yang sentap dengan sentimen saya. Cuma satu saja nak saya cakap, netizen ini memang puaka,” katanya berseloroh.










