PETALING JAYA: “Amyra ada komplikasi di apendiks. Dah buat pembedahan, Alhamdulillah.” Demikian kata pelakon, Amar Baharin memaklumkan isterinya, Amyra Rosli selamat menjalani pembedahan apendiks, kelmarin.
Menerusi hantaran di Instagram, Amar turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada mereka yang tidak putus mendoakan isteri tercinta.
“Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah kau permudahkan pembedahan isteriku. Berehat ya sayang. Dunia dah semakin tenat.
“Semoga Allah membalas kebaikan kamu-kamu yang mendoakan dengan kebaikan dan sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari fitnah kehidupan dan kematian,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, Amar turut berkongsi foto isterinya ketika menjalani rawatan di sebuah hospital.
Di ruangan komen, Amyra turut memaklumkan dirinya kini sedang fokus menjalani fasa pemulihan.
“Terima kasih semua orang atas doa dan ucapan. Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan saya kini fokus dalam pemulihan.
“Kepada suami, terima kasih kerana sentiasa bersama dan menjaga saya dengan baik,” katanya.










