Ada ‘jerung’ cuci duit tabur RM500,000, cuba beli kami - Kmy Kmo - Utusan Malaysia

Ada ‘jerung’ cuci duit tabur RM500,000, cuba beli kami – Kmy Kmo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekali dua, pasangan rap duo Kmy Kmo dan Luca Sickta pernah berhadapan dengan kisah gelap apabila ditawarkan kemewahan tanpa batasan. Bagi mereka, dalam industri seni, jika tersalah langkah atau mudah mempercayai orang, seseorang anak seni akan mudah terjerumus gara-gara menerima tawaran yang di luar kotak.

Bercerita kepada Utusan Malaysia, pasangan ini mengakui pernah berhadapan dengan individu yang berlagak kaya dan mewah. Individu tersebut menawarkan wang tunai berjumlah RM500,000 beserta sebuah studio rakaman yang lengkap. Namun, tawaran lumayan itu datang dengan syarat yang cukup berat dan tidak masuk akal iaitu mereka tidak boleh lagi bergerak sebagai duo selepas ini.

Bagaimanapun, Kmy dan Luca tidak gelap mata dan mengakui tiada apa yang dapat membeli nilai persahabatan mereka yang telah dibina selama ini. Lebih mengejutkan, dedah mereka, situasi seperti ini terjadi kerana ada ‘jerung’ dalam dunia hip hop yang mencari mangsa untuk dimanipulasi.

“Kalau kami berumur 18 atau 20 tahun, mungkin kami sudah gelap mata. Tapi ketika tawaran itu datang, kami masing-masing sudah 30-an, sudah matang dan ada pengalaman berhubung dengan banyak orang,” kata Luca.

Menurut Kmy Kmo, taktik yang digunakan oleh individu-individu ini selalunya serupa, seolah-olah mereka menggunakan kaedag yang sama untuk menjerat artis. Mereka akan mula mendekati melalui kenalan atau peminat sebelum mengajak makan malam di tempat yang mewah.

“Mereka akan bawa kereta besar, belanja makan di tempat yang ‘fancy’ dan cuba memukau kita dengan gaya hidup mewah. Mereka akan kemudian tawarkan kita macam-macam tapi tak minta pulangan.

“Dari situ kita sebenarnya sudah dapat tahu mungkin mereka mempunyai kaitan dengan aktiviti haram seperti cuci wang. Artis ini dijadikan alat sahaja untuk lindungi aktiviti mereka,” dedah Kmy.

Dalam pada itu, tegas Luca, kematangan mereka hari ini membolehkan mereka membaca bahasa badan dan niat sebenar individu tersebut.
“Selalunya kalau kami tanya ‘nak apa sebagai balasan’ mereka tidak dapat jawab dengan telus, kami akan segera menarik diri,” katanya.

Bagi mereka, maruah dan integriti sebagai pemuzik tidak boleh dijual beli dengan kertas wang ringgit. Mereka lebih rela hidup sederhana tetapi mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap karya dan identiti mereka sendiri.

Kmy Kmo mendedahkan bahawa mereka sangat menitikberatkan soal kontrak. Setiap dokumen yang diterima akan diperiksa dengan teliti oleh peguam bagi memastikan tidak ada unsur-unsur yang boleh memakan diri sendiri.

“Ada kontrak yang nampak macam nak jadi ‘partner’, tapi sebenarnya mereka nak miliki nama dan bakat kita sampai bila-bila,” tegas Kmy yang berpendapat teknik itu adalah sebuah eksploitasi yang sering berlaku dalam industri muzik tanpa disedari oleh artis baru.

Bagaimanapun, mereka bersyukur apabila selalu mendapat nasihat daripada tokoh-tokoh besar industri seperti Datuk M. Nasir dan Malique. Nasihat tersebut menjadi azimat buat mereka untuk terus berpijak di bumi yang nyata dan tidak mudah hanyut.

M. Nasir dan Malique sering menekankan tentang kepentingan bekerja dengan niat ikhlas untuk bertahan sebagai anak seni dalam jangka masa panjang. Mereka tidak mahu menjadi seperti ‘goreng pisang’ iaitu cepat panas, tetapi cepat juga sejuk dan dilupakan orang.

Bagi Kmy dan Loca, persahabatan dan keserasian yang mereka bina dalam muzik jauh lebih bernilai daripada RM500,000. Wang boleh dicari, namun kepercayaan dan prinsip yang sudah tergadai tidak mungkin dapat dibeli semula.

Mereka juga menyedari bahawa ramai rakan artis lain yang turut berdepan dengan masalah yang sama. Isu mengenai wang sering menjadi punca perbalahan antara artis dengan syarikat pengurusan atau pembantu peribadi.

Merakam dilema wang dalam Kertas Wangi

Bercakap mengenai bagaimana wang selaku membuatkan banyak orang hilang pedoman, Kmy Kmo dan Luca Sickta kembali dengan single terbaharu yang turut menggabungkan elemek muzik tradisional Pantai Timur dan hip hop ke dalam lagu terbaharu, Kertas Wangi.

Melalui Kertas Wangi, Kmy Kmo dan Luca Sickta ingin menyampaikan pesanan bahawa wang hanyalah sekadar kertas. Walaupun baunya wangi dan mampu menarik sesiapa sahaja, ia tidak seharusnya menjadi paksi utama dalam menentukan hala tuju hidup dan maruah seseorang.

“Lagu ini mencerminkan bagaimana masyarakat hari ini daripada golongan tua sehingga ke peringkat kanak-kanak semakin hilang nilai kemanusiaan hanya kerana mengejar kemewahan material yang bersifat sementara,” kata Luca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN