KUALA LUMPUR : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meluahkan rasa tersentuh dan hiba apabila mendapat khabar salah seorang peminat yang juga ahli kelab Siti Zoners, Fadzil, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat masalah kesihatan serius.
Menurut Siti, Fadzil, bukan sekadar peminat biasa, sebaliknya seorang yang sangat setia, baik hati dan sentiasa berada di sisi setiap kali dirinya menghadiri sesebuah acara mahupun ke luar negara.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya sering melihat wajah Fadzil. Setiap kali saya dan suami ke luar negara, dialah yang akan menghantar dan menyambut kami di lapangan terbang.
“Dia merupakan seorang peminat fanatik, tetapi dalam masa yang sama seorang yang sangat baik,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Selain itu, Siti berkata, dia benar-benar terkesan apabila dimaklumkan Fadzil dimasukkan ke ICU selepas mengalami tekanan darah tinggi yang kemudiannya menyebabkan saluran darahnya pecah.
Lebih menyentuh hati, pada hari kejadian, Siti berkata, dia kebetulan sedang sibuk dengan urusan kerja.
Sejurus selesai tugasan, Siti segera meminta izin suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), untuk melawat Fadzil di wad kecemasan sebelum peminat setianya itu dipindahkan ke ICU.
“Kehadiran saya hanyalah untuk memberi sokongan dan semangat. Saya amat berharap kehadiran saya dapat memberi sedikit kekuatan kepadanya,” katanya.
Tambah Siti, kehadiran peminat-peminat lain yang turut sama datang memberikan sokongan membuktikan betapa Fazil juga disayangi dalam kalangan komuniti peminat Siti Nurhaliza.
Sehubungan itu, Siti memohon semua pihak agar tidak putus-putus mendoakan kesembuhan Fazil.
“Saya amat mengharapkan doa daripada semua agar Allah memberi keajaiban dan memudahkan segala urusan buatnya.
“Semoga Allah mengurniakan kesembuhan kepadanya. Marilah kita sama-sama berdoa agar ada keajaiban daripada Allah. Terus-terang, saya benar-benar merasakan peminat adalah kekuatan besar bagi seorang artis.
“Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak akan sampai ke tahap sekarang. Pengorbanan mereka sangat besar bagi diri saya,” ujarnya.
Sebelum ini, perkongsian video lawatan berkenaan yang dimuat naik oleh kelab peminat Sitizoners di TikTok tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, yang rata-rata memuji keprihatinan serta keperibadian Siti sebagai seorang artis berjiwa besar dan tidak pernah melupakan jasa peminat.










