Tindakan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, suami Neera Azizi digantung tugas - Utusan Malaysia

Tindakan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, suami Neera Azizi digantung tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suami kepada penyampai radio, Neera Azizi, iaitu Muhammad Hafizi Mohd Noor, digantung tugas selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta susulan penularan video sambutan gender reveal yang dilakukan di hadapan Kaabah, baru-baru ini.

Agensi umrah, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd., dalam kenyataan rasmi memaklumkan pihak pengurusan memandang serius insiden berkenaan dan telah menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap etika serta Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat yang telah ditetapkan bagi setiap petugas.

Susulan itu, tindakan tatatertib dikenakan terhadap Hafizi termasuk penggantungan daripada sebarang tugasan operasi atau membimbing jemaah ke Tanah Suci sepanjang tempoh berkenaan.

“Individu terbabit turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman termasuk pengeluaran surat amaran rasmi.

“Sebarang pertimbangan pelantikan semula hanya akan dibuat tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap ketetapan dan garis panduan syarikat,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan turut menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika serta imej syarikat tidak akan dikompromi sama sekali.

Terdahulu, tular di media sosial video pasangan tersebut yang meraikan berita jantina bayi mereka di hadapan Baitullah sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif netizen.

Rata-rata menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati tempat suci umat Islam.

Susulan kecaman bertubi-tubi, pasangan berkenaan dilaporkan telah memadam video tersebut di semua platform media sosial.

Dalam pada itu, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. memaklumkan pihaknya mengambil maklum isu tular yang melibatkan salah seorang petugas mereka dan akan terus memastikan pematuhan ketat terhadap semua garis panduan bagi menjaga kesucian ibadah serta amanah jemaah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN