KUALA LUMPUR: Nama Malaysia kembali bergema di persada antarabangsa apabila filem aksi tempatan, Blood Brothers: Bara Naga dan pelakon versatil, Syafiq Kyle mencuri perhatian pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelmarin.
Filem Blood Brothers: Bara Naga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri, manakala Syafiq Kyle pula menempa pencapaian peribadi membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rising Icon APFF (Kategori Lelaki).
Kejayaan itu sekali gus mengangkat martabat industri perfileman serta bakat lakonan Malaysia di rantau Asia Pasifik.
Menerusi kejayaan itu, Syafiq melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan menganggap kejayaan itu sebagai milik seluruh penggiat seni tanah air.
“Saya bersyukur dan menganggap penghargaan ini bukan hanya untuk saya, sebaliknya buat semua penggiat seni di Malaysia.
“Ia juga membuktikan wujud peningkatan dari sudut pembikinan filem dan drama tempatan ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Menurut Syafiq lagi, pengiktirafan itu turut membuka peluang untuknya mengembangkan kerjaya ke luar negara.
“Ada juga menerima tawaran dari Indonesia, India dan Thailand, namun mungkin belum ada rezeki kerana kekangan masa. Saya percaya rezeki ada di mana-mana,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Syafiq kini sibuk membuat persiapan bagi penggambaran filem Takluk 2: Lahad Datu dengan kembali memegang watak DSP Zamri.
Penggambaran dijadualkan bermula hujung Disember ini dan dijangka berakhir sebelum Ramadan.
Selepas Aidilfitri pula, Syafiq akan terlibat dalam penggambaran Blood Brothers 2.
APFF62 dianjurkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Tourism Malaysia dan Lomo Pictures, sekali gus menghimpunkan karyawan filem, selebriti antarabangsa serta tenaga kreatif dari seluruh rantau.
Seramai penggiat filem dari 12 negara menyertai festival berprestij itu melibatkan Iran, Jepun, Nepal, Indonesia, Singapura, China, Bangladesh, Korea, India dan Thailand.
Setiausaha Agung FPA, Pansha berkata, pemilihan Syafiq Kyle sebagai penerima anugerah dibuat secara sebulat suara berdasarkan prestasi konsisten serta pengaruhnya dalam industri perfileman tempatan.
“Anugerah ini diperkenalkan tahun ini bagi menaikkan prestij APFF. Kami mahu memberi ruang kepada pelakon muda berbakat dan tidak hanya tertumpu kepada pengiktirafan pelakon veteran semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Blood Brothers: Bara Naga turut muncul antara penyertaan paling mencuri tumpuan dalam persaingan 12 filem tercalon. Antara karya lain yang bertanding ialah 6AM (Iran), Crocodile Tears (Indonesia), An Unfinished Film (Singapura), Happyend (Jepun), LUZ (China), Shambhala (Nepal), Saba (Bangladesh), The Roots (Bangladesh), Shadowbox (India), Regretfully at Dawn (Thailand) dan I Kill You (Korea).

Aktor legenda Hong Kong, Simon Yam turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
“Saya amat gembira dan menganggap pengiktirafan ini sebagai penghormatan terbesar sepanjang kerjaya lakonan saya. Jika ada peluang, saya berhasrat untuk berlakon di Malaysia.
“Saya amat menyukai Pulau Pinang,” katanya yang bertekad untuk terus aktif dalam dunia lakonan selagi diperlukan.
Dalam kategori lain, bintang muda Thailand, Tontawan Tantivejakul turut diiktiraf sebagai penerima FPA Asia-Pacific Rising Icon Award (Kategori Wanita).
Penganjuran APFF62 sekali lagi membuktikan kekuatan sinema Asia Pasifik serta peranan Kuala Lumpur sebagai hos bertaraf antarabangsa yang memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri kreatif serantau.
Sementara itu, berikut adalah senarai pemenang :
Pemenang Anugerah Khas APFF62
Anugerah Khas Juri: Blood Brothers: Bara Naga
FPA Most Promising Icon Award: Lin Min Chen (Malaysia)
FPA Cultural Impact Award: Kungfu Juniors arahan Gao Zhisen
Senarai Pemenang Utama APFF62:
Filem Pendek Terbaik: Come Find Me
Skor Muzik Asal Terbaik: Shambhala
Suntingan Terbaik: LUZ
Skrip Asal Terbaik: Shadowbox
Sinematografi Terbaik: Happyend
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Rokeya Prachy – Saba
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Xiao Dong Guo – LUZ
Pelakon Wanita Terbaik: Tillotama Shome – Shadowbox
Pelakon Lelaki Terbaik: Yukito Hidaka – Happyend
Pengarah Terbaik: Neo Sora – Happyend
Filem Terbaik: Crawling Crows: AANKHA










