Shariff Zero nafi isu duit punca konflik dengan Atu

Shariff Zero nafi isu duit punca konflik dengan Atu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anggota kumpulan lawak popular Zero, Sharif Kadir, menafikan dakwaan kononnya masalah kewangan menjadi punca perbalahan antara dirinya dan adiknya, Atu, yang turut menganggotai kumpulan sama.

Menurut Sharif, dia sudah beberapa kali berusaha mengajak Atu bertemu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda hubungan mereka, namun sehingga kini belum menemui titik perdamaian.

“Benarkah isu duit? Benarkah ada usaha daripada pihak dia untuk berbaik? Sudah beberapa kali saya mengajaknya berjumpa.

“Saya bukan jenis yang ego dan orang yang mengenali saya tahu perkara itu. Jadi janganlah kata saya tidak berusaha,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pelancaran Selangor Havoc Raya Fest, di Pusat Konvensyen Setia City,semalam.

Bagaimanapun, Sharif mengakui mungkin terdapat keterlanjuran kata-kata daripadanya yang secara tidak sengaja telah mengguris perasaan adiknya itu.

Katanya, dia bersedia menerima sebarang tanggapan dan terbuka untuk memohon maaf demi memulihkan hubungan kekeluargaan mereka.

“Kalau dia anggap ini salah saya, saya terima. Mungkin ada cerita mengenai dirinya yang telah terbongkar, namun saya tidak pernah berniat untuk mengaibkan.

“Di hadapan orang ramai ini, saya minta maaf, Atu. Abang minta maaf dan berharap kita dapat kembali seperti dahulu,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Sharif turut mengulas mengenai status kumpulan Zero yang kini dilihat kurang aktif, dengan mengakui ketiadaan platform menjadi kekangan utama untuk mereka kembali bergabung seperti sebelum ini.

“Saya faham ramai peminat rindu melihat kami bersama, namun realitinya kini sudah tiada platform untuk kami muncul bertiga. Persoalannya, bagaimana kami mahu berkumpul?” katanya.

Sharif dalam masa sama turut meluahkan kerinduan terhadap kedua-dua adiknya dan berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat keluarganya.

“Sebagai seorang abang, sudah tentu saya sedih dan tidak menyangka isu ini menjadi sebesar ini.

“Ibu mengetahui hal ini dan percaya kami akan kembali baik suatu hari nanti. Untuk urusan keluarga, biarlah kami selesaikan secara tertutup.

“Saya cuma berharap semua pihak mendoakan yang baik-baik,” katanya.

Terdahulu, perkongsian Sharif dalam satu temu bual podcast mengenai kisah hidup Atu yang didakwa hampir terjerumus dalam penyalahgunaan dadah akibat salah memilih rakan dikatakan menjadi antara punca konflik yang tercetus antara mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN