Saya yakin TheNoor punyai potensi amat besar - Neelofa - Utusan Malaysia

Saya yakin TheNoor punyai potensi amat besar – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan terkenal tanah air, Neelofa, secara rasmi mengesahkan kedudukannya sebagai pemegang saham majoriti dalam syarikat teknologi gaya hidup Muslim, TheNoor.

Ia sekali gus menandakan permulaan fasa baharu yang lebih progresif dan berfokuskan pertumbuhan mampan.

Menurut Neelofa dalam satu kenyataan, sejak penubuhannya sehingga tahun 2024, dia tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian syarikat.

Namun bermula Ogos 2024, pengacara itu mengambil alih sepenuhnya pengurusan TheNoor tanpa pengurusan terdahulu, dengan membawa hala tuju baharu yang lebih strategik, telus dan berorientasikan pembangunan jangka panjang.

Sejurus menerajui syarikat, beberapa langkah penstrukturan menyeluruh telah dilaksanakan termasuk pelantikan barisan pengurusan kanan berpengalaman, kerjasama dengan syarikat pembangunan perisian bertaraf global, pembentukan jawatan baharu bagi memperkukuh struktur operasi serta pembangunan semula aplikasi yang bakal memperkenalkan TheNoor Pro, dijangka dilancarkan sebelum hujung tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, TheNoor kini berada di ambang kerjasama strategik bersama sebuah konglomerat besar tempatan, termasuk projek integrasi dengan Proton.

Melalui kolaborasi itu, aplikasi TheNoor dijangka dipasang secara terus dalam tujuh model kenderaan Proton, sekali gus membuka lembaran baharu dalam ekosistem teknologi dan automotif tempatan.

Mengulas lanjut, Neelofa memaklumkan bahawa selepas pengambilalihan pada Ogos lalu, dia mengarahkan semakan forensik menyeluruh susulan penemuan beberapa isu berkaitan ketidakpatuhan tadbir urus dan dokumentasi yang dibangkitkan oleh juruaudit syarikat bagi tahun kewangan 2023, namun tidak diberi maklum balas oleh pengurusan terdahulu.

“Justeru, audit kewangan terperinci serta penstrukturan semula organisasi dalaman telah dilaksanakan bagi memastikan TheNoor beroperasi di atas landasan yang lebih kukuh, telus dan berdaya saing,” katanya.

Selain itu, Neelofa turut menegaskan komitmen untuk memastikan TheNoor terus berkembang sebagai platform gaya hidup Muslim global yang inovatif.

“Saya yakin TheNoor mempunyai potensi yang amat besar. Fokus kami kini ialah membina semula asas yang kukuh, meningkatkan ketelusan serta memperkenalkan inovasi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Muslim di seluruh dunia,” katanya.

TheNoor yang ditubuhkan pada 2020 telah mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan lebih 4.33 juta muat turun dan kira-kira 650,000 pengguna aktif harian.

Aplikasi ini turut menembusi hampir 200 negara dengan pangkalan pengguna utama dari Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia, Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong, menjadikannya antara platform gaya hidup Muslim paling berpengaruh di rantau ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN