KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyanyi, Shiha Zikir menzahirkan pandangan mengenai budaya mengecam dan sikap negatif yang semakin berleluasa, khususnya di media sosial.
Menurut Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 38, individu yang bersikap positif lazimnya tidak mempunyai masa untuk mengutuk, bergosip atau menjatuhkan orang lain kerana mereka lebih fokus kepada memperbaiki diri serta menyebarkan kebaikan.
“Apa yang saya sedari tentang perbezaan antara orang yang positif dan orang yang negatif ialah individu yang positif tidak mempunyai masa untuk mengutuk, bergosip atau menjatuhkan orang lain.
“Sebaliknya, mereka lebih gemar memberikan kata-kata semangat, mendoakan perkara yang baik-baik, tidak cuba memburukkan orang lain, dan sukar untuk dijelaskan betapa menyenangkannya berada dalam lingkungan pergaulan mereka,” ujarnya dalam satu perkongsian di Threads.
Dalam pada itu, Shiha turut mempersoalkan keberanian segelintir pihak yang gemar meninggalkan komen negatif menggunakan akaun palsu atau tanpa identiti jelas.
“Mengapa kebanyakan individu yang suka mengutuk atau mengecam selalunya tidak mempunyai gambar profil atau menggunakan akaun palsu?
“Adakah orang yang bersikap negatif ini hanya berani bersuara dari belakang sahaja?”katanya.
Tambah pengacara popular itu, setiap individu mempunyai pilihan untuk menentukan kategori diri masing-masing, sama ada menjadi penyebar kebaikan atau sebaliknya.
“Oleh itu, faham-fahamlah kategori mana yang ingin anda pilih, kerana apa yang anda perkatakan atau tuliskan sebenarnya mencerminkan diri anda sendiri,”katanya.
Luahan Shiha itu bagaimanapun mendapat sokongan daripada peminat dan pengikutnya yang meminta agar penyanyi berkenaan tidak perlu melayan komen-komen negatif.
Terdahulu, gaya pengacaraan Shiha bersama rakan hos, Raja Azura, di pentas Anugerah Bintang Popular (ABP) semalam mendapat kritikan termasuk pujian ramai.










